Tuesday 8 October 2013

cukuplah Ilahi di hatimu sayang

milik Allah
walau ruang yang kecil cuma
senyuman kesyukuranmu jannah
pahatkan pada hati
jangan sesekali meminta yang lebih
duniawimu sayang bukan hadiah terbaik buatmu
di sana...berkat senyuman dan keredhaanmu
dikau pasti tersenyum dengan kebahagiaan anugerah Ilahi

.....

hati ini telah dimiliki...

Saturday 5 October 2013

rindu seorang ibu...

ya Allah...
di saat Engkau alihkan hatiku kepadanya
aku telah mula mengisinya jauh di lubuk hatiku
aku telah menyulam namanya agar kemas terlekat pada kalbuku
dan kini...
aku mula tersenyum dengan perkataannya
ada keindahan pada bait bicaranya
mengusik nakal ruang hatiku
ya...ada sesuatu yang mengetuk pintu yang terkatup rapat
dan aku mula membukanya
dan bahagia melihat gerangannya
pada kedua-dua jemarinya ada si kecil yang begitu mempesona
keajaiban Allah buatku...
anugerah Allah buatku...

namun ya Allah...
hatiku retak bersama kehadirannya
kerana rinduku mula membenih setinggi awan
ingin benar kugapai keduanya..
menjadi putera-putera hatiku
untuk kusayangi sepenuh jiwaku...
namun begitu jauh untukku rangkul erat dalam dakapanku

ya Allah...
begitu mudah hatiku terpaut
pada wajah putih bersih yang seakan memanggilku untuk mencorakkannya...
dalam tak sedar aku menyayangi mereka dengan segenap ruang kalbuku
ya Allah...
hatiku pedih menanti
terhiris dalam ruang waktu yang panjang...
entah bila mampu kulafaz pada bibirku...
anak ibu...

ya Allah...
walau terasa tersisih dengan kenangan-kenangan lama mereka...
namun ya Tuhan tak mengapa
asal sahaja aku bisa berada di sisi si kecil tersebut
hatiku bagai membentak kuat
seakan mereka memang anak yang lahir daripada rahimku
berikanlah kekuatan kepadaku ya Rabb
aku mampu berjauhan dengan lelaki yang bernama suami
namun dengan insan yang bernama anak...
aku bagai lemas tak mampu bernafas
sesaat pun...

Friday 4 October 2013

hilang sekeping baldu yang disulam khusus untukku

entah mengapa
kasih yang kuharapkan datang dalam tangisan
tidak mampu memberi senyuman
aku bersyukur
dalam serba cacat dan cela dalam diriku
masih ada yang mahu memberi sayangnya
namun ya Allah
mengapa aku bersedih
mengapa aku mengharapkan sesuatu yang mustahil
mengapa aku masih berharap ada yang akan mengasihiku kerana diriku
hanya diriku
hanya kerana diriku
terasa bagai baru semalam
aku bagai seorang puteri
suri sekeping hati
dalam debar dada seorang suami
dan sekarang ketika telah pergi
aku bagai menumpang kasih pada sekeping hati yang baru
namun aku tercari-cari
di mana ruang untukku pada sekeping hati tersebut
tak kutemui baldu cinta yang disulam khusus buatku
mujurlah kutemui senyuman dua insan kecil
yang mungkin mampu mengubat hatiku
walau rasa tersisih nanti
alhamdulillah
Allah menganugerahkan ketenangan buatku melalui mata mereka
cukuplah buatku
cukuplah untukku
dalam dunia yang singkat ini...

Thursday 3 October 2013

hanya kerana perkara remeh...

aku pernah merasa terlalu bahagia bersamanya
menganyam impian yang indah bersamanya
berdua dengan segala kepayahan yang kami tanggung bersama...
dan kami bahagia...
di hatinya ada namaku
dan di hatiku ada namanya
dalam kesederhanaan
kami mengecapi segenap yang ada untuk melakar kenangan indah
dalam kepayahan aku menyaksikan keikhlasannya
namun mengapa ya Allah...
hatinya mudah mengalah
hatinya mudah melafazkan sehingga dia lupa natijahnya
dan kini yang tinggal
tangisan yang tak mampu ditelan
terlalu pahit dan menyakitkan
terpaksa melupakan...
walhal tiada apa-apa yang besar menyebabkan
cumalah perkara remeh campurtangan orang luar yang sebenarnya boleh diabaikan
hanya kerana perkara remeh...
hanya kerana perkara kecil yang tidak sepatutnya diperbesarkan
hanya kerana perkara remeh...

hadiahkanlah dia kebahagiaan ya Allah

Ya Allah...
takdir bagaimana yang Engkau coretkan dalam perjalananku
peritnya ya Tuhan tak tertanggung...
berikanlah aku kekuatan
dan Engkau berikanlah kebahagiaan kepadanya walau di mana pun dia berada
anugerahkanlah rahmat-Mu ke kepadanya ya Allah
atas segala kebaikan yang dia berikan kepadaku
berikanlah dia kebahagiaan
berikanlah dia senyuman
tenangkanlah hatinya
kerana aku tahu hatiku lebih kuat daripada hatinya...
memori itu ya Tuhan
terlalu menghiris perasaan...