Friday 18 January 2013

Heart that can read...



Saudaraku...
mereka boleh tersenyum
boleh tertawa
boleh berkata apa sahaja
boleh menyakiti
boleh menghiris seketul daging merah di dada...
Kerana mereka tidak mengerti apa yang kita rasa
mereka tidak tahu tangisan yang kita pendam jauh di sanubari
Bisu dan suam
nampak kosong sebenarnya memeritkan.
Mereka tidak mengerti bagaimana kita dibesarkan
dengan kasih sayang yang takkan mampu mereka selami
walaupun ianya datang daripada sebuah rumah kecil yang usang
yang penghuninya tampak biasa.
Di sana kita tersenyum
menghormati
walaupun dengan segala kepayahan yang melanda.
Di sana kita masih mampu bergurau senda
berkongsi segala kekurangan
berkongsi segala ketakutan
namun masih lagi cukup membahagiakan...

Saudaraku
Kepayahan membesar kita terasa manis dalam kepahitan...
Rumah yang sentiasa basah disirami air hujan
dapur yang sentiasa kelam tak berasap
tiang yang semakin tua dan kian reput
namun masih gagah menongkat rangka dan penghuninya...
Mungkin kerana ia mengasihani
air mata bisu bonda kita
debar dadanya yang sentiasa kumat-kamit memohon kuasa-Nya
sepanjang titi usianya
sepanjang jaga mata kita
untuk kita anak-anaknya
Saudaraku,
Ia panorama biasa bila malam menjelma kan
kegelisahan bonda dan ayah
kenangan pahit yang terlalu manis untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja

saudaraku...
mereka boleh tersenyum dalam apa jua makna
kerana mereka tidak pernah tahu
kebisuan ini terlalu banyak menyimpan luka
kemelaratan yang mereka canang
pada kuman di seberang lautan
tidak pernah kelihatan di hadapan mata

saudaraku...
mereka tidak akan pernah mengerti
kerana mereka tidak pernah merasa
kebisuan ini bukan direka
bukan disengaja
ia bagai parut sang luka
yang takkan sembuh sampai bila-bila
sama seperti ranting yang dicantas daripada induknya
pasti kehausan dan kelayuan

saudaraku...
mereka boleh berbicara
dalam apa jua rentak dan nada...
mereka tidak melihat air mata si kecil
tidak melihat air mata bonda dan ayah
tidak melihat kesakitan yang kita rasa

saudaraku...
mereka takkan pernah mengerti...
justeru kerana itu Allah menghadiahkan kita sesuatu yang terlalu bermakna
yang mereka takkan pernah ada...
makbulnya doa seorang perantau...

saudaraku...
senyumlah dan pujuklah tangisan di dada
walau betapa sakit dan kelam kita rasa
Allah melihat dan mengasihani
bukankah masih ramai lagi yang sama seperti kita
bahkan yang dipandang lebih hina pada mata-mata mereka
Cukuplah Dia sebagai kekuatan kita...