Beberapa Unsur Matematik Dalam Warisan Budaya Suluk





BAB I


PENGENALAN


1.1       LATAR BELAKANG KAJIAN ETNOSAINS KAUM SULUK

Kajian etnografi masyarakat Kaum Suluk di Kepulauan Sulu banyak dirakamkan melalui penulisan buku-buku contohnya oleh Amilbangsa et al. (1942), Cesar (1988), Orosa (1923) dan Kiefer (1970). Cesar (1988) dalam penulisannya banyak menekankan perjuangan orang Islam Moro yang tertindas dan hanya menyentuh sedikit tentang asal-usul kesultanan dan hubungan-hubungan yang wujud di dalam dan luar masyarakat Kaum Suluk. Ia lebih menceritakan tentang bagaimana perjuangan orang Islam Moro dilandasi agama dan perlu kepada penyatuan semua pihak untuk memerdekakan masyarakat tersebut daripada peperangan yang panjang. Sebaliknya, Amilbangsa et al. (1942) merekodkan hampir sempurna mengenai peradaban masyarakat Tausug pada zamannya meliputi asal-usul, sistem kesultanan, adat dan budaya serta kepercayaan-kepercayaan mereka.

            Begitupun, seawal daripada dekad tersebut sebenarnya sudah wujud pembukuan mengenai masyarakat Tausug melalui pandangan yang berbeza oleh Orosa (1923). Pelbagai kelemahan dan kepincangan masyarakat Tausug dipaparkan. Kajian beliau tidaklah secara terperinci melainkan hanya menyelitkan sedikit sebanyak apa yang beliau peroleh sebagai seorang doktor di Jolo dan pelbagai lagi tanggungjawab sebelumnya. Namun apa yang menarik untuk diperkatakan di sini adalah mengenai aspek teknologi masyarakat ini yang telah menyebabkan penjajah gerun untuk seketika. Walaupun penjajah Sepanyol dan Inggeris ketika itu sudah dilengkapi dengan peralatan moden dan canggih, namun keupayaan pembuatan senjata tajam seperti Barong, Kalis, Bujjak dan sebagainya menyebabkan penjajah dihantui perasaan cemas akibat serangan hendap mahupun secara terang-terangan oleh Juramentado (pejuang yang berani mati). Ini dinukilkan oleh Amilbangsa et al. (1942), Cesar (1988) dan Orosa (1923) melalui penulisan masing-masing.

            Selain daripada pembuatan barangan logam seperti di atas, Kaum Suluk juga dilengkapi dengan pelbagai perhiasan dan perkakas logam daripada emas, perak dan gangsa hasil pertukangan yang mahir di kalangan mereka.

            Pelayaran panglima perang Kaum Tausug yang tercatat rekod buktinya di dalam penulisan Awang Mohd. Jamil al-Sufri (1921) memberitahu kita tentang kemajuan masyarakat ini di dalam pembuatan perahu (sakayan) dan kapal layar (vintas). Orosa (1923) ada menyebut tentang keunikan vintas yang kini menjadi daya tarikan pelancong di Manila dan Jolo. Layarnya berwarna-warni serta terdapat konsep fizik yang diaplikasikan untuk menyeimbangkan perahu tersebut.

            Penulisan Velasco (2008) tentang seni kesusasteraan yang menjadi tradisi masyarakat kaum Suluk di Kepulauan Sulu begitupun tidak mengupas ayat-ayat puitis yang unik dan terkandung aspek matematik tersebut. Sedar atau tidak, kesusasteraan juga merangkumi aspek etnomatematik melalui penggunaan kata ganti diri yang merujuk kepada set bilangan orang. Etnomatematik merupakan sebahagian daripada cabang etnosains (etnosains adalah cabang etnografi).

Kiefer (1970) lebih tertumpu kepada seni persembahan masyarakat Suluk yang merangkumi pelbagai jenis peralatan muzik asli, tarian dan lagu. Terkini, Asreemoro (2007) turut menyentuh tentang budaya dan warisan seni persembahan tersebut. Penghasilan pelbagai jenis peralatan muzik tersebut melibatkan penggunaan sains dan teknologi. Masyarakat Kaum Suluk peka terhadap penghasilan gelombang daripada alatan muzik yang dihasilkan daripada seni pertukangan kayu. Konsep geometri, flora dan fauna banyak ditemui dan dikesan pada pembuatan alatan muzik tersebut tidak kira sama ada melalui bentuk mahupun ukiran pada badan alatan muzik.

Dari segi aspek astronomi, Orosa (1923) ada menyebut tentang penggunaan istilah-istilah yang merujuk kepada fasa-fasa hari seperti mataas suga, suvu, tunga’ dum dan lain-lain. Fasa-fasa ini digunakan bagi membolehkan masyarakat Kaum Suluk menunaikan kewajipan bersolat. Beliau dalam penulisannya juga secara tidak langsung ada menyebut tentang fasa-fasa bulan yang menjadi rujukan bagi menyambut bulan Ramadhan, Hailaya Idulfitri (Hari Raya Aidilfitri) dan bagi melakukan pekerjaan seharian meliputi perjalanan darat dan pelayaran. 

1.2       OBJEKTIF KAJIAN

Rekod-rekod hasil daripada penulisan Amilbangsa et al. (1942), Kiefer (1970) dan Orosa (1923) hanyalah mengkhusus kepada kajian etnografi meliputi cabang-cabangnya, etnosains dan etnoteknologi secara umum. Adapun, mengenai kajian etnomatematik, ia sekadar penghasilan secara tidak langsung melalui kajian etnografi yang tidak disedari. Walaupun masyarakat Suluk di Kepulauan Sulu dan Sabah mencatat pertembungan budaya yang pelbagai, namun warisan dan budaya yang beradaptasi dengan penyesuaian pelbagai bentuk jajahan ini masih menampakkan keaslian dalam identiti daripada aspek sains dan teknologi (fizik, kimia, astronomi, biologi, dan matematik) serta linguistik. Masih terlalu banyak warisan dan budaya dalam masyarakat Suluk yang tidak terdapat pada warisan dan budaya bangsa lain dan seterusnya membuktikan kelangsungan ilmu yang dibangunkan adalah unik mengikut cara hidup masyarakat Suluk.

            Justeru, objektif utama penulisan ini adalah untuk mengetengahkan pendedahan ilmu yang telah dibangunkan oleh masyarakat Kaum Suluk melalui kajian etnomatematik. Beberapa idea matematik diteroka dan diolah daripada kajian etnografi yang telah dijalankan sebelumnya. Seterusnya, huraian terperinci mengenai tafsiran secara bermatematik ini dipersembahkan melalui pendokumentasian yang perlu bagi mengekal dan memelihara keunikan warisan dan budaya masyarakat Kaum Suluk Sabah yang kian lama hilang dalam arus pemodenan dan pengasingan daripada majoriti asal di Kepulauan Sulu. Justeru, kajian ini akan membincangkan tentang idea-idea matematik dalam warisan dan budaya masyarakat Kaum Suluk yang ditafsirkan menggunakan konsep-konsep matematik yang berkaitan.






1.3       RANGKA KAJIAN

Dalam bab pengenalan iaitu Bab I, latar belakang mengenai kajian etnosains Kaum Suluk diketengahkan bagi mengkaji sejauh mana masyarakat dunia meneroka peradaban sains masyarakat Kaum Suluk. Ini didedahkan bertujuan untuk menyatakan objektif utama kajian ini yang berdasarkan kepada kekurangan kajian-kajian lepas dari segi aspek matematik bagi kaum ini. Walaupun tergolong di dalam golongan yang mundur dan masih lagi agak primitif, namun kajian lepas dikupas sebagai penelitian terhadap pembangunan ilmu secara tidak langsung di dalam bab ini.

            Dalam Bab II, latar belakang mengenai kaum Suluk didedahkan walaupun tidak secara teliti bagi memperkenalkan warisan dan budaya masyarakat Kaum Suluk. Pertembungan budaya yang pelbagai diketengahkan sebagai dasar kepada cara hidup masyarakat ini sama ada daripada segi kehidupan sosial, agama dan kepercayaan, pakaian dan sistem ekonomi yang sebahagian besar disumbangkan oleh kepelbagaian seni kemahiran, linguistik dan peralatan muzik asli. Secara tidak langsung, bab ini juga menyentuh tentang idea-idea matematik yang akan ditafsir dan dibincangkan secara khusus di dalam bab seterusnya yang lebih menumpu kepada beberapa aspek matematik tertentu yang begitu sinonim di dalam masyarakat Kaum Suluk.

            Seterusnya, dalam Bab III, salah satu idea matematik yang juga sering dikenal pasti di dalam mana-mana peradaban lain adalah berkenaan nombor. Aplikasi nombor yang abstrak di dalam kehidupan seharian Kaum Suluk diteroka dan ditafsir keluar menjadi bentuk dan sistem nombor yang lebih konkrit dan difahami. Contohnya, sebutan-sebutan nombor dalam Bahasa Suluk yang turut mempunyai unsur nilai tempat seperti sa, puluh, ratus, ribu, puluh ribu dan seterusnya. Pengelasan nombor turut dibincangkan mencakupi bentuk angka ganjil, genap dan pecahan beserta istilahnya di dalam Bahasa Suluk. Sebutan bagi sukatan dan ukuran serta fasa-fasa yang lazim di dalam kaum ini juga turut dinyatakan.

            Dalam Bab IV, aplikasi geometri ditafsir keluar melalui hasil warisan kaum ini yang banyak bermotifkan geometri sama ada dalam pembuatan nisan, peralatan senjata tajam, peralatan rumah dan kebun, pakaian seharian dan sebagainya. Namun, secara khusus, hanya warisan tertentu sahaja yang akan ditafsir dan dibincangkan unsur matematik tersebut dengan lebih mendalam iaitu renda. Tafsiran corak ini akan dikaitkan dengan konsep atau takrif matematik tertentu yang melibatkan penghasilan corak geometri tersebut. Istilah-istilah geometri yang lazim juga dinyatakan di dalam bab ini.

            Bagitupun, di dalam Bab V, fokus tertumpu kepada keindahan kesusasteraan dan bahasa etnik Kaum Suluk yang berbaur mantik atau logik. Tafsiran mantik melalui penggunaan bahasa seharian dan puitis Kaum Suluk yang sering menonjol ketika upacara-upacara hiburan diteroka dan dibincangkan di dalam bab ini. Terdapat beberapa unsur mantik yang dikenal pasti seperti pengait, pernyataan dan istilah-istilah mantik. Takrif-takrif tertentu mantik yang berhubung kait dengan tafsiran yang dibincangkan turut dinyatakan.

            Bab VI adalah kesimpulan bagi kajian. Keseluruhan topik yang disentuh dan dibincangkan akan dirumus sekali lagi dalam  bentuk yang lebih ringkas dan padat.





BAB II


LATAR BELAKANG KAUM SULUK


2.1       PENGENALAN

Suluk merupakan sebahagian etnik yang tinggal di Sabah namun berasal dari Kepulauan Sulu di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu dan dikenali sebagai Tausug. Kepulauan Sulu terdiri daripada pulau-pulau kecil. Justeru, lokasi penempatan Tausug tertumpu di sekitar pesisiran pantai dan sedikit di pedalaman. Melalui kajian etnologi terhadap kaum ini, pada awalnya rumah-rumah mereka dibina daripada atap nipah dan buluh. Namun, lama kelamaan bertukar menjadi dinding kayu dan atap nipah. Bahagian dalam rumah ada yang tidak mempunyai bahagian-bahagian tertentu seperti dapur dan ruang tamu. Apa yang membezakan penguasa dengan rakyat biasa hanyalah keluasan saiz rumah mereka. Di Sabah kini, terdapat kaum Suluk yang tinggal bersama kaum Bajau di dalam perkampungan atas air seperti yang boleh kita lihat di Tawau, Sandakan dan Semporna. Penghijrahan yang disebabkan oleh faktor  peperangan tidak sedikitpun mengubah cara hidup Tausug di Sabah. Namun, sedikit demi sedikit, corak hidup berubah seiring dengan pemodenan.

            Sebelum pengislaman, Kaum Suluk menganut agama Hindu dan animisme. Ini boleh dirujuk melalui buku karangan Asreemoro (2007) yang menyatakan bahawa orang-orang Islam Moro meninggalkan agama Hindu dan animisme tersebut untuk menganut agama Islam tanpa paksaan dan peperangan.

Islam menjadi agama rasmi di kepulauan Sulu setelah Sayyid Abu Bakar yang dikenali sebagai Sultan Syariful Hashim menggantikan ayahanda mertua baginda, Raja Baguinda. Sayyid Abu Bakar merupakan seorang ulama’ sufi dari Tanah Arab yang datang ke Sulu melalui Brunei dan merupakan keturunan daripada Rasulullah S.A.W. melalui cucu baginda Rasulullah S.A.W., iaitu Sayyidina Hussein r.a. Melalui pemerintahan Sayyid Abu Bakar inilah berlakunya pengislaman beramai-ramai kaum Suluk yang tinggal di tepi pantai (Baklaya dan Taguimaha) dan Tausug Buranun di pergunungan yang majoritinya menganut agama Hindu-Buddha dan animisme.

            Walaupun demikian, Islam sebenarnya sudah wujud di kepulauan Sulu sebelum tahun 1457M. Ajaran agama ini pada awalnya dibawa dan diperkenalkan oleh Tuan Masha’ika (Tuan Syeikh) yang berkahwin dengan anak perempuan Raja Sipad (bukan seorang Islam) dan Tuhan (Tuan) Maqbalu yang tinggal di Bud Dato (bertarikh 702H/ 1303). Ini jelas menunjukkan Islam sudah mula bertapak di Sulu pada awal kurun ke-13M (Asreemoro 2007).

Setelah pengislaman, kaum Suluk menjadi penganut yang setia kepada agama mencakupi konsep jihad mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan wilayah mereka. Kesetiaan kepada penguasa (Sultan) seperti yang diterapkan oleh ajaran agama menyebabkan peperangan lebih daripada 400 tahun di antara Bangsa Moro dan penjajah tidak kira Sepanyol mahupun Amerika dan kita juga tahu kaum dominan di dalam Bangsa Moro tersebut adalah kaum Suluk.

Sebelum kedatangan Islam, Suluk dibahagikan mengikut Timuway (ketua) masing-masing. Namun, setelah kedatangan Islam, Timuway tersebut digantikan kepada Datu dan akhirnya berkembang sehingga membentuk sistem kesultanan dalam masyarakat Tausug.
           
            Masyarakat Tausug (Suluk) terdiri daripada 3 kelas sosial seperti berikut:
1.      Bangsawan
·         Keseluruhan keturunan daripada Sayyid Abu Bakar dan Syarif Muhammad Kabungsuwan.
·         Status diwarisi secara turun-temurun (warisan) kecuali sebahagian yang mendapatkan gelaran dan status tersebut kerana kemahiran peribadi dan sumbangan.
·         Status bangsawan yang paling rendah adalah “Dumatu”.
2.      Rakyat biasa
·         Bahagian majoriti masyarakat Suluk yang bekerja sebagai pekebun, petani, penternak, nelayan, kelasi kapal, dan pekerja mahir.
·         Rakyat biasa juga bertindak sebagai pengikut (sakop) Sultan dan Datu-datu yang berkuasa. Mereka memberi perkhidmatan kepada Sultan dan Datu. Sebagai balasan, mereka diberi perlindungan dan kebajikan mereka turut terjaga.
·         Mempunyai struktur organisasi contohnya nakuda (ketua aktiviti perdagangan). Nakuda menerima harta dan mempunyai pengikut tertentu.

3.      Hamba
·         Merupakan tawanan perang yang tidak dapat ditebus.
·         Hamba lelaki selalunya bekerja di padang manakala hamba perempuan membuat kerja-kerja rumah.
·         Namun, setelah kedatangan Islam, sistem perhambaan dihapuskan dan mereka menjadi rakyat biasa.

Berikut merupakan struktur politik kaum Suluk yang dicatat oleh Che Man (1990):
1.      Sultan/ Raja
2.      Bagi setiap unit politik wilayah/ kawasan
a)      Panglima (wakil Sultan) yang bertindak sebagai ketua pentadbiran.
b)      Nakib bertindak menguruskan hal-hal ketenteraan.
c)      Laksamana bertindak sebagai utusan panglima
d)     Bintala bertindak sebagai pembantu kanan pegawai.

Sultan membentuk Rumah Bechara (pusat musyawarah) yang ahlinya terdiri daripada kumpulan bangsawan. Setiap ahlinya melakukan tugas yang berbeza dan memegang jawatan yang pelbagai.

Struktur kuasa agama pula adalah seperti berikut:
1.      Sultan

2.      Qadi (hakim)
·         Penasihat agama dan ketua dalam hal undang-undang Islam (Syariah).

3.      Pada peringkat wilayah/kawasan
·         Pendita (seorang yang pakar dalam al-Quran dan Sunnah Nabi) merupakan penasihat agama kepada panglima (Ketua Daerah).
·         Pendita juga merupakan pegawai agama yang mempunyai pengaruh dalam mengeluarkan arahan.

4.      Pada peringkat komuniti yang berbeza
·         Imam diamanahkan untuk menjaga masjid Sultan dan kurang berpengaruh di masjid-masjid tempatan.
·         Setiap imam dibantu oleh Khatib (pengkhutbah) dan Bilal.

            Di kalangan para Datu yang bertindak sebagai penguasa tempatan, mereka membeli hasil tangkapan laut daripada kaum Bajao yang lebih mahir dalam hal-hal laut. Sebagai balasan, para Datu Tausug tersebut perlu menjaga kebajikan dan melindungi kaum Bajao tersebut.

            Di peringkat rakyat biasa, majoriti kaum Suluk bekerja sebagai pekebun, petani, penternak dan pekerja mahir. Tidak kurang juga yang handal menangkap hasil laut seperti kaum Bajao dan ada yang bekerja sebagai kelasi kapal (Che Man 1990). Dari segi kemahiran, lelaki Suluk mahir dalam menghasilkan senjata seperti Barong (parang panjang) sementara wanita Suluk pula mahir dalam menganyam bakul, tikar, atap, dan sebagainya yang diperbuat daripada daun nipah (nipa’) dan lain-lain. Kemahiran-kemahiran yang menjadi punca ekonomi tersebut akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah tajuk kesenian.

2.2       SEJARAH ASAL-USUL KAUM SULUK

Kaum Suluk berasal daripada rumpun Melayu Austronesian (Polenesian). Kaum ini diberi nama Suluk mungkin kerana dua sebab (Asreemoro 2007):
1.      Perkataan Suluk berasal daripada dua perkataan iaitu “Sulu” dan “Sug”. Orang Melayu (Brunei dan Kalimantan) sukar untuk menyebut perkataan “Sug” dengan betul sehingga bertukar kepada “Suk” dan menghasilkan bunyi “Suluk” yang bermaksud Orang “Sug” di Sulu.
2.      Perkataan Suluk mungkin diambil daripada istilah tasawwuf. Ber “suluk” bermaksud orang yang menyibukkan dirinya dengan zikrullah di satu tempat tertentu. Kata jamak Suluk adalah “Salik” iaitu orang-orang yang menempuh jalan bersuluk dengan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. mengikut kaedah tasawwuf dan memurnikan rohaninya dengan menjadikan Allah S.W.T. sebagai tujuan hidup dan matinya. Selepas kedatangan Islam, kaum Suluk di Sulu menjadikan agama Islam sebagai agama mereka dan melindungi agama tersebut sehingga digelar “Juramentado” yang bermaksud “berani mati”.

            Di kepulauan Sulu, kaum Suluk dikenali sebagai Tausug yang terdiri daripada perkataan “Tau” dan “Sug” yang masing-masing bermaksud “Orang” dan “Arus” (Asreemoro 2007). Dalam terjemahan yang lain, “Sug” juga diertikan sebagai “Semasa”. Perkataan “Sug” ini mungkin amat berkaitan dengan pekerjaan mereka yang dipengaruhi oleh lokasi penempatan yang dikelilingi laut (Asreemoro 2007). Perkataan Tausug ini juga mungkin diambil daripada perkataan “Tau maisug” yang bermaksud “orang berani” (Cesar 1988). Kaum Tausug merupakan kaum majoriti atau dominan di dalam Bangsa Moro atau Moros iaitu gelaran yang diberikan oleh penjajah Sepanyol kerana keganasan dan sikap kaum ini yang suka menentang penjajahan Sepanyol. Perkataan ini sebenarnya berasal daripada perkataan “Moor” iaitu gelaran yang dinisbahkan kepada orang Iberia atau Mauretania (Orang Arab Islam Sepanyol) oleh orang Eropah kerana keganasan dan sikap penentangan mereka. Moor bertukar menjadi Moro kerana pelat orang Sepanyol menyebut perkataan tersebut sebagai Moro.

            Justeru, di sini boleh disimpulkan gelaran lain bagi kaum Suluk adalah Tausug, Sulus (Orosa 1923), Joloanos (Che Man 1990), Mohammedan dan Moros (Orosa 1923). Walaupun pada dasarnya, Moros terdiri daripada gabungan beberapa etnik seperti Tausug, Samal, Maguindanao, Maranao dan lain-lain lagi, namun kaum Tausug adalah yang paling dominan sekali. Moros lebih merujuk kepada kaum Tausug di kepulauan Sulu (Orosa 1923). 75 peratus daripada Moros adalah Maranao, Maguindanao dan Tausug dengan Tausug sebagai kaum yang majoriti.

            Kaum Suluk (Tausug) terbentuk daripada gabungan beberapa etnik yang datang dari tempat asal yang berlainan yang kemudiannya berhijrah ke kepulauan Sulu sehingga membentuk kaum ini. Justeru, bahasa Suluk juga terdiri daripada beberapa dialek yang dipengaruhi oleh kawasan penempatan masing-masing seperti Tausug Tapul, Basilan, Lugus, Lu’uk, Gimbahanun, Parang dan banyak lagi. Pengaruh kekuasaan kerajaan Srivijaya dan Majapahit ke atas wilayah sekitar kepulauan Sulu suatu ketika dulu juga turut menyumbang kepada penerapan unsur-unsur bahasa Jawa ke dalam bahasa Suluk.
            Begitu juga dengan pengaruh bahasa Arab di dalam bahasa Suluk memandangkan kaum Suluk hanya dikenali sehingga kini kerana kedaulatan kesultanannya yang diasaskan oleh mubaligh Islam dari Tanah Arab (Asreemoro 2007). Berikut merupakan beberapa etnik yang membentuk kaum Suluk:
·         Orang Buranun yang berasal dari pergunungan Sulu. Lokasi penempatan di Maimbung.
·         Orang Tagimaha yang berasal dari Pulau Basilan. Begitupun, asal sebenar mereka adalah dari Pulau Besar Mindanao. Lokasi penempatan di Buansa/Jolo.
·         Orang Baklaya yang berasal dari Sulawesi Indonesia. Lokasi penempatan di Patikul.
·         Orang Banjar yang berasal dari Banjar Masin, Kalimantan, Borneo Indonesia.
·         Orang Dampuan yang berasal dari Champa/Vietnam.

            Menurut Che Man (1990), bilangan Moro yang berhijrah ke Sabah untuk mencari pekerjaan dan melepaskan diri daripada keganasan di kampung halaman adalah melebihi 250 000 orang. 80 peratus daripadanya adalah lelaki. Inilah di antara saluran yang mewujudkan kaum Suluk di Sabah pada hari ini.

            Penguasaan wilayah oleh Tausug termasuklah Pulau Sulu atau Sug (ibu negeri-Jolo), Tawi-tawi, Basilan (termasuk Bandar Zamboanga di Mindanao), Palawan dan Borneo Utara (Sabah).

2.3       PAKAIAN TRADISIONAL

Bagi kaum lelaki Suluk, pakaian tradisional mereka terdiri daripada topi, pis siyabit, sawwal kuput, sawwal kantiyu, baju lapi, tadjung dan kandit. Topi yang diperbuat daripada tiga lapisan iaitu daun nito, daun nipah dan jalur bambu. Anyaman tersebut bercorak sawali. Peranan daun nipah dan jalur bambu adalah untuk memberi struktur dan bentuk topi tersebut sementara jalur nito pula bertujuan untuk memberikan tekstur bagi topi tersebut. Anyaman yang mempunyai liang-liang terbuka tersebut memastikan pengudaraan yang baik bagi si pemakai. Topi ini biasanya dipakai apabila turun melakukan pekerjaan. Pis siyabit adalah hiasan di kepala lelaki yang bersaiz satu meter dan mempunyai corak geometri. Kadangkala, pis siyabit yang diikat di bahagian kepala tersebut seakan-akan menyerupai tengkolok di kalangan orang Melayu. Namun, terdapat juga pis siyabit yang dibiarkan tergantung pada bahu sebelah kiri.

Sawwal kuput merupakan kain seluar lelaki yang lebih ketat dan panjang sehingga ke paras buku lali. Kain seluar mempunyai belahan sepanjang 22.5 cm dari hujung seluar. Belahan tersebut dihiasi dengan butang-butang emas atau perak. Sawwal kantiyu juga adalah kain seluar kaum lelaki Suluk. Namun, terdapat sedikit perbezaan dengan sawwal kuput iaitu seluar ini lebih longgar. Baju Lapi adalah baju tradisional kaum Suluk yang berbentuk seperti jaket yang tak berkolar. Lengan bajunya boleh sama ada panjang sehingga ke pergelangan tangan atau ¾ panjang yang asal. Pada pergelangan tangan baju ini juga terdapat belahan yang dihiasi dengan butang yang banyak. Selain daripada hiasan butang pada belahan hujung lengan baju, butang-butang juga dihias pada dada dan bahu baju Lapi tersebut. Butang-butang ini biasanya diperbuat daripada logam emas atau perak. Kandit adalah kain yang berfungsi seperti bengkung dan diikat pada pinggang bagi memastikan sawwal kuput yang dipakai tidak jatuh (Amilbangsa et al. 1942).

            Bagi kaum wanita Suluk pula, pakaian tradisional mereka terdiri daripada biyatawi/batawi, sawwal, habul tiyahian dan tadjung. Biyatawi merupakan kain polos seperti satin dan dihias dengan butang emas atau perak pada bahagian dada, abhu dan pergelangan tangan baju yang mempunyai belahan. Baju ini biasanya dipakai dengan sawwal (seluar longgar) yang diperbuat daripada sutera atau kain yang bertenun benang emas. Habul tiyahian seringkali digantung pada bahu atau pada sebelah tangan sahaja (Amilbangsa et al. 1942). Tadjung adalah kain skirt yang dipakai sama ada oleh lelaki mahupun wanita. Peranan tadjung adalah sebagai tudung, penutup kepala, pengikat pinggang, selimut, buaian dan banyak lagi. Kain patadjung ini diinspirasikan oleh pelbagai rekaan seperti cetakan batik daripada Indonesia dan Malaysia, dunggala atau bentuk geometri yang bergaya dan corak flora daripada Sarawak, Indonesia dan Malaysia, serta motif seni khat (kaligrafi) daripada Timur Tengah (Amilbangsa et al. 1942).





2.4       KESENIAN

Terdapat tiga kesenian utama di dalam masyarakat Suluk iaitu kesenian kemahiran, kesusasteraan dan persembahan. Kemahiran merujuk kepada pertukangan, anyaman, sulaman, tenunan dan jahitan yang bukan sahaja merupakan sumber ekonomi kaum Suluk tetapi juga untuk perkakas rumah dan hiasan. Kesusasteraan lebih kepada hiburan bersahaja ketika sedang duduk bersantai mahupun ketika sebarang perayaan. Seni persembahan lebih kepada warisan yang hanya sebilangan mahir dan dipertontonkan sebagai sumber ekonomi

2.4.1    Kemahiran

Ukiran kaum Suluk banyak dilihat pada batu nisan sama ada dalam bentuk geometri mahupun flora.  Batu nisan bagi wanita adalah lebih rata dan mempunyai ukiran bentuk geometri manakala bagi lelaki adalah ukiran berbentuk flora. Selain batu nisan, ukiran Tausug juga boleh dilihat pada sakayan iaitu perahu. Ukiran yang siap biasanya dicat dengan warna kuning, merah, hijau, putih, dan biru (Velasco 2008).

            Tausug mananasal merupakan seorang yang mahir dalam pertukangan besi dan menghasilkan peralatan seperti bolo, kalis, dan barong (senjata tajam). Peralatan memancing yang dihasilkan adalah seperti sangkil (tombak satu mata) dan sapang (tombak beracabang tiga). Selain daripada itu, peralatan yang diperbuat daripada gangsa adalah seperti batunjang (bentuk seperti dulang hantaran perkahwinan iaitu dulang yang mempunyai kaki) dan talam (talam). Singsing (cincin), gantung liug (rantai leher), bang (anting-anting), aritis (anting-anting yang lebih kecil khas untuk kanak-kanak), pin (kerongsang) dan gigi emas dihasilkan daripada emas dan perak oleh tukang emas. Suatu ketika dulu, tambuku (butang) yang dihias pada pakaian tradisional lelaki dan perempuan kaum Suluk dibuat daripada emas atau perak dan ditatahkan dengan palmata (batu permata) seperti mussah (mutiara), intan (intan) dan kumalah (batu delima) (Amilbangsa et al. 1942).

            Contoh-contoh bagi kerja-kerja pertukangan kayu adalah seperti puhan, taguban, peralatan dapur dan perabot. Peralatan dapur dan perabot adalah seperti katil, peti dan almari baju (Velasco 2008). Puhan adalah kayu pemegang bagi senjata tajam seperti barong. Pada puhan tersebut terdapat ukiran dan dihias dengan ikatan atau lingkaran emas atau perak. Taguban adalah sarung bagi senjata tajam seperti keris yang dikenali sebagai kalis.

            Terdapat dua jenis tenunan yang terkenal di kalangan kaum Suluk iaitu luhul (kain yang dihias seperti kanopi atau kelambu di atas siling rumah dan kikitil/buras (tenunan yang dihias pada dinding). Corak ukiran untuk kedua-dua tenunan tersebut diperoleh melalui surihan pada kain putih yang berkanji dan kemudiannya dipotong dan dijahit pada kain latar yang berwarna. Pokok yang bercabang dan mencapah merupakan salah satu bentuk ukkil bagi luhul. Kikitil adalah versi luhul yang lebih kecil dengan saiz lebih kurang 1 meter mengikut luas dinding kediaman masing-masing. Selain daripada itu, kaum Suluk juga mahir dalam anyaman tikar, bakul dan sebagainya serta jahitan. 
               
2.4.2    Kesusasteraan

Kesusasteraan Tausug (Suluk) merangkumi bentuk-bentuk puisi, prosa, penceritaan dan bukan penceritaan. Tradisi ini diwakili oleh dua golongan iaitu orang-orang tua yang amat berkait rapat dengan budaya orang asli Suluk dan penganut Islam yang berlandaskan al-Quran, hadis (perkataan) dan sunnah (tradisi dan amalan) Nabi Muhammad S.A.W.. Bagi golongan tua, puisi bukan penceritaan meliputi tigum-tigum atau tukud-tukud (teka teki), masaalaa (peribahasa), daman (dialog puitis atau nasihat), pituwa (petua), malikata (penyongsangan kata), tilik (jampi cinta), dan tarasul (puisi-puisi) (Velasco 2008).

            Tausug tigum-tigum adalah teka-teki yang sering dilakukan ketika perbualan bersahaja atau dinyanyikan semasa perayaan. Bentuk teka-teki ini sama ada di dalam rangkap empat baris, dua baris berima atau prosa. Persoalan yang disentuh adalah seperti flora dan fauna, barangan rumah tangga, iklim, keadaan muka bumi, rupa langit, anatomi manusia, makanan, permainan dan amalan agama (Velasco 2008). Teka-teki di dalam masyarakat Tausug berfungsi sebagai satu bentuk hiburan terutamanya ketika majlis perkahwinan dan pada bulan Ramadan. Ia lebih kepada pertarungan akal dan kebijaksanaan. Selain daripada itu, ia juga mempunyai nilai pedagogi seperti kaedah pengajaran yang melatih kanak-kanak untuk berfikir dan sedar dengan suasana sekeliling mereka. Apa yang menarik untuk dikupas melalui kesusasteraan Suluk adalah nilai ilmu mantik atau logiknya yang terkandung di dalam bait-bait puitis puisi mereka.

2.4.3    Persembahan

Kaum Suluk dilengkapi dengan pelbagai peralatan muzik sama ada secara tunggal mahupun dalam satu kumpulan. Kepelbagaian peralatan muzik inilah yang menghasilkan muzik kaum Suluk. Set peralatan muzik di kalangan kaum ini adalah set kulintangan. Set kulintangan terdiri daripada dua gandang (gendang), satu tunggalan (gong besar), satu duwahan (set dua pasang gong), dan kulintangan (set 8 hingga 11 gong kecil yang bersiri). Set kulintangan ini dimainkan oleh sekurang-kurangnya lima orang bagi mengiringi tarian atau ketika perayaan (Kiefer 1970). Gabbang (zilofon asli) mempunyai 14 sehingga 24 nada yang dibahagikan kepada 7 skala not. Peralatan muzik ini adalah di antara yang popular di Sulu dan dimainkan bagi mengiringi lagu-lagu seperti sindil. Melodi yang terhasil dipanggil sebagai tahta’. Biyula (biola) sama seperti biola barat namun lebih besar daripada segi saiz. Ia terdiri daripada 4 tali halus yang digesek dengan penggesek biola yang diperbuat daripada ekor kuda. Biyula sering dimainkan bersama gabbang oleh kaum lelaki bagi mengiringi lagu sindil (Kiefer 1970). Walaupun kurang popular di kalangan kaum Suluk, namun seruling yang terdiri daripada beberapa jenis seperti saunay (seruling buluh mensiang), suling (seruling bambu) dan kulaing (kecapi mulut) merupakan simbol kepada ketenangan dan pengembaraan. Saunay mempunyai 6 lubang yang ditutup dengan sampung simud dengan diameter 1.5 mm. Suling adalah versi saunay yang lebih besar. Ia diperbuat daripada bambu sepanjang 60cm dengan diameter sebanyak 2cm (Kiefer 1970).

            Kalangan (lagu) kaum Suluk terbahagi kepada lagu penceritaan dan lirik serta tradisi lugu’ dan panggabang. Tradisi lugu’ mewakili lagu-lagu agama tanpa sebarang muzik manakala tradisi paggabang adalah lagu-lagu biasa yang ditemani gabbang dan biola (Velasco 2008). Lagu-lagu penceritaan bercerita tentang kisah yang meliputi semua lagu kissa seperti parang sabil (perang sabil). Lagu-lagu lirik mewakili luahan idea dan perasaan seperti langan bata-bata (lagu kanak-kanak), baat (lagu pekerjaan), baat caalaw (pengkebumian), pangantin (pengantin), tarasul (lagu-lagu puisi), sindil (lagu pertarungan), liangkit (rentetan) dan sangbay (lagu yang mengiringi tarian dalling-dalling). Langan bata-bata merupakan lagu yang lembut dan mempunyai melodi yang tenang bagi menidurkan kanak-kanak. Liangkit diiringi oleh gabbang dan biyula. Ia merupakan rentetan lagu yang panjang dan dinyanyikan bukan secara spontan meliputi tema cinta, perang, alam dan lain-lain.



Rajah 2.1  Peta Kepulauan Sulu

Sumber: Anon. 2009




BAB III


NOMBOR DAN PENGGUNAANNYA


3.1       PENGENALAN

Simbol merupakan satu tanda, petunjuk atau perkataan yang mewakili satu objek atau idea. Simbol-simbol membawa makna yang berbeza bergantung dengan nilai atau perkara yang telah ditetapkan dan difahami. Dalam matematik, sebahagian simbol mewakili angka dan operasi manakala sebahagian lagi membandingkan angka tersebut. Simbol-simbol   “0”, “1”, “2”, “3”, “4”, “5”, “6”, “7”, “8”,  dan “9” dikenali sebagai angka Hindu-Arab. Simbol-simbol ini boleh digunakan untuk membentuk simbol-simbol yang lain seperti “12”, “102”, “13”, “50”, “123” dan sebagainya. Istilah perlu bagi simbol-simbol yang mewakili angka tersebut untuk memudahkan penggunaannya (Brumfiel et al. 1961). Justeru, kepelbagaian peradaban yang telah terbentuk sejak awal penciptaan tamadun manusia mewujudkan kepelbagaian istilah untuk simbol-simbol angka yang sama maksudnya seperti di China, Greek dan Timur Tengah.

Angka adalah objek matematik yang digunakan di dalam pengiraan dan pengukuran. Dalam matematik, makna angka meliputi sifar, nombor negatif, nombor nisbah, nombor tak nisbah dan nombor kompleks. Integer merupakan sebahagian daripada angka. Dalam bab ini, istilah-istilah integer dalam Bahasa Suluk akan diperkenalkan daripada sa sehinggalah ke nilai tempat yang lebih tinggi. Selain daripada itu, pecahan angka seperti angka ganjil, genap, nombor pecahan, serta ukuran dan sukatan akan dijelaskan sebutannya di dalam Bahasa Suluk.

Sifar banyak ditemui pada teks-teks kuno seperti teks-teks Mesopotamia (Iraq) dan Mesir. Teks India menggunakan perkataan Sanskrit iaitu Sunya bagi merujuk sesuatu yang tiada. Rekod awal mengenai penggunaan sifar ditulis oleh Brahmagupta di dalam Brahmasphutasiddhanta yang bertarikh 628M. Beliau mengganggap sifar sebagai satu nombor dan membincangkan operasi yang melibatkan sifar termasuklah bahagi (Surendranath Dasgupta 1966). Sekitar kurun ke-7, pendokumentasian sifar sudah mula tersebar di China dan dunia Islam. Begitupun, di kalangan kaum Suluk, sifar tidak ditemui melainkan perkataan “Wayruun” yang bermaksud tiada. Justeru, di dalam perbincangan bab ini, sifar tidak disentuh.

            Bidang astronomi adalah sesuatu yang sangat penting bagi masyarakat Suluk yang bekerja sebagai nelayan atau bagi mereka yang melakukan perjalanan tidak kira jauh atau dekat. Fasa-fasa bulan dan hari digunakan untuk mengenal pasti waktu bagi melakukan pekerjaan seharian mereka. Justeru, penggunaan ayat seharian mereka mengenai fasa-fasa tersebut turut dicatatkan. Bagi keseluruhan istilah yang terkandung huruf “b” di dalamnya, huruf tersebut disebut dengan sebutan “v” contohnya “ngaivu” bagi “ngaibu”.

3.2       SEBUTAN NOMBOR

Nombor bagi kaum Suluk mempunyai beberapa istilah yang lebih kurang sebutannya dengan istilah nombor bagi rumpun Melayu yang lain seperti jadual-jadual berikut:

Jadual 3.1 Sebutan rumah sa

Nombor
Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
1
2
3
4
5
6
7
8
9
Isa
Dua
Tu
Upat
Lima
Unum
Pitu
Walu
Siam
Satu
Dua
Tiga
Empat
Lima
Enam
Tujuh
Lapan
Sembilan

Sumber: Seymour et al. 1975

Jadual 3.2 Sebutan nombor puluh

Nombor
Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
10
20
30
40
50
60
70
80
90
Hangpu’
Kahwaa’n
Katluan
Ka’patan
Kai’man
Ka’numan
Kapituan
Kawaluan
Kasiaman
Sepuluh
Dua puluh
Tiga puluh
Empat puluh
Lima puluh
Enam puluh
Tujuh puluh
Lapan puluh
Sembilan puluh

Sumber: Seymour et al. 1975

Berikut merupakan jadual-jadual tentang istilah-istilah nombor untuk nilai tempat yang lebih tinggi dalam Bahasa Suluk berdasarkan temu ramah bersama beberapa penduduk etnik Suluk di Kampung Kurnia Jaya dan rujukan daripada sumber Seymour et al. (1975):

Jadual 3.3 Sebutan nombor ratus

Nombor
Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
100
200
300
400
500
600
700
800                
900
Hanggatus
Duanggatus
Tunggatus
Upat ngagatus
Limanggatus
Unum ngagatus
Pitunggatus
Walunggatus
Siam ngagatus
Seratus
Dua ratus
Tiga ratus
Empat ratus
Lima ratus
Enam ratus
Tujuh ratus
Lapan ratus
Sembilan ratus

Sumber: Seymour et al. 1975

Jadual 3.4 Sebutan nombor ribu

Nombor
Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
1000
2000
3000
4000
5000
6000
7000
8000
9000
Ha’ngibu
Dua ngaibu
Tu ngaibu
Upat ngaibu
Lima ngaibu
Unum ngaibu
Pitu ngaibu
Walu ngaibu
Siam ngaibu
Satu ribu
Dua ribu
Tiga ribu
Empat ribu
Lima ribu
Enam ribu
Tujuh ribu
Lapan ribu
Sembilan ribu

Sumber: Seymour et al. 1975

Jadual 3.5 Sebutan nombor puluh  ribu

Nombor
Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
10 000
20 000
30 000
40 000
50 000
60 000
70 000
80 000
90 000
Hangpu’ nagibu
Kahwaan ngaibu
Katluan ngaibu
Ka’patan ngaibu
Kai’man ngaibu
Ka’numan ngaibu
Kapituan ngaibu
Kawaluan ngaibu
Kasiaman ngaibu
Sepuluh ribu
Dua puluh ribu
Tiga puluh ribu
Empat puluh ribu
Lima puluh ribu
Enam puluh ribu
Tujuh puluh ribu
Lapan puluh ribu
Sembilan puluh ribu

Sumber: Seymour et al. 1975





Jadual 3.6 Sebutan nilai tempat bagi nombor yang lain

Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
Gatus ngaibu
Laksa’/ Salaksa’
Ratus ribu
Sepuluh ribu/ ketakterhinggaan

Sumber: Seymour et al. 1975

3.3       NOMBOR GANJIL

Nombor-nombor bagi n = 1, 3, 5… iaitu nombor-nombor ganjil di dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai “umbul gansar” iaitu nombor-nombor yang mempunyai lebihan satu (naglabi hambuuk). Istilah ini diperoleh melalui temu ramah bersama beberapa orang penduduk etnik Suluk di Kampung Kurnia Jaya, Tawau.

3.4       NOMBOR GENAP

Nombor-nombor bagi n = 2, 4, 6… iaitu nombor-nombor yang kita kenali sebagai nombor-nombor genap disebut sebagai “umbul jukup” di dalam Bahasa Suluk (Seymour et al. 1975).

3.5       NOMBOR PECAHAN

Jadual 3.7 Istilah nombor pecahan yang mempunyai penyebut sa

Nombor
Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
1/2
1/3
1/4
1/5
1/6
1/7
1/8
1/9
Hambuuk bahagiun mag dua
Hambuuk bahagiun mag tu
Hambuuk bahagiun mag upat
Hambuuk bahagiun mag lima
Hambuuk bahagiun mag unum
Hambuuk bahagiun mag pitu
Hambuuk bahagiun mag walu
Hambuuk bahagiun mag siam
Satu per dua
Satu per tiga
Satu per empat
Satu per lima
Satu per enam
Satu per tujuh
Satu per lapan
Satu per sembilan
Perhatikan, dalam kes ini satu tidak lagi disebut sebagai “isa”. Ini kerana “isa” hanya digunakan untuk membilang manakala “hambuuk” digunakan di dalam pengiraan seperti nombor pecahan di atas. Nombor pecahan ½ di atas juga dikenali sebagai “hambuuk tunga’” di dalam Bahasa Suluk. Begitulah seterusnya untuk nombor-nombor pecahan yang lain. Nilai-nilai hanya digantikan berdasarkan istilah-istilah angka yang telah disebut di dalam pecahan Bab 3.1. Sumber tersebut diperoleh daripada Seymour et al. (1975)

3.6       UKURAN DAN SUKATAN

Kaum Suluk mengira lebar (ablang) dan panjang (haba’)  bagi keluasan tanah umpamanya dengan menggunakan unit depa yang dikenali sebagai “dupa” atau “ngarupa” seperti jadual di bawah:

Jadual 3.8  Sebutan unit depa dalam Bahasa Suluk

Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
Hangdupa/ hambuuk ngarupa
Duangdupa/ dua ngarupa
Tungdupa/ tu ngarupa
Upat dupa/ upat ngarupa
Limangdupa/ lima ngarupa
Unum dupa/ unum ngarupa
Pitungdupa/ pitu ngarupa
Walungdupa/ walu ngarupa
Siam dupa/ siam ngarupa
Hangpu’ dupa/ hangpu’ ngarupa
Satu depa
Dua depa
Tiga depa
Empat depa
Lima depa
Enam depa
Tujuh depa
Lapan depa
Sembilan depa
Sepuluh depa

Begitulah seterusnya untuk nilai-nilai nombor yang lain. Perhatikan perkataan nombor yang berakhir dengan huruf vokal, ejaan sebutan tersebut sesuai disambung terus dengan “dupa” dengan hanya menambah  –ng di akhir nombor . Bagi mengukur kawasan yang lebih kecil seperti keluasan rumah umpamanya, lebar dan panjang diukur menggunakan unit kaki atau dikenali sebagai “siki” di dalam Bahasa Suluk. Kebiasaannya, bagi mengukur keluasan yang lebih kecil lagi seperti tikar, unit jengkal digunakan dan ini dikenali sebagai “dangaw”. Berat bijiran disukat dengan unit “supa’” (Seymour et al. 1975).

3.7       ASTRONOMI

Pada masa dahulu, tarikh bagi hari ditentukan dengan merujuk kepada fasa-fasa bulan. Fasa-fasa tersebut penting terutamanya bagi orang Islam dalam penentuan Bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha dan lain-lain. Masa pula ditentukan melalui fasa-fasa hari dengan menjadikan bayang-bayang di bawah matahari sebagai rujukan. Justeru, istilah-istilah dalam kaum Suluk bagi fasa-fasa tersebut boleh dilihat pada jadual-jadual seterusnya.

3.7.1    Fasa-fasa Bulan

Berikut merupakan istilah bagi fasa-fasa bulan dalam Bahasa Suluk yang menjadi rujukan kaum tersebut bagi menentukan hari:

Jadual 3.9 Istilah fasa-fasa bulan dalam Bahasa Suluk

Istilah Bahasa Suluk
Penjelasan
Sahali
Duahali
Tu kasubangan dan seterusnya
Damlag
Tambul bud
1 hari bulan hijrah
2 hari bulan hijrah
3 hari bulan hijrah dan seterusnya
15 hari bulan hijrah
16 hari bulan hijrah

Sumber: Seymour et al. 1975

3.7.2    Fasa-fasa Hari

Istilah bagi fasa-fasa hari dalam kaum Suluk tidak spesifik terhadap satu nombor tertentu sebaliknya mewakili satu selang masa seperti yang boleh diperhatikan pada jadual di sebelah:

Jadual 3.10 Istilah fasa-fasa hari dalam Bahasa Suluk

Istilah Bahasa Suluk
Penjelasan
Lapid adlaw/ Subu
Tunga’ dag asibi’
Tunga’ dag dakula’
Ugtu suga
Liid
Tadlup suga
Tunga’dum
Pukul 3 hingga 5 pagi (subuh)
Pukul 6 hingga 8 pagi
Pukul 9 hingga 10 pagi
Pukul 12 tengah hari
Pukul 1 hingga 3 petang
Masa maghrib
Pukul 12 tengah malam

Sumber: Seymour et al. 1975

3.7.3    Sebutan-sebutan Bagi Masa dan Tempoh

Berikut merupakan jadual-jadual bagi istilah masa dan tempoh dalam Bahasa Suluk yang dapat direkodkan melalui penulisan Seymour et al. (1975) dan hasil temuramah dengan beberapa orang penduduk Kampung Kurnia Jaya:

Jadual 3.11 Sebutan-sebutan bagi masa dalam Bahasa Suluk dan Bahasa Melayu

Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
Ta’kisa
Kabii
Adlaw ini/ Adlaw yan
Adlaw hambuuk/Kunsuum
Ku’nisa
Kasuungan
Adlaw akhiran
Hari sebelum kelmarin
Semalam
Hari ini
Keesokan hari/esok
Lusa
Masa depan
Hari Pengadilan





Jadual 3.12 Sebutan-sebutan bagi tempoh dalam Bahasa Suluk dan Bahasa Melayu

Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
Ka’ina
Hangka sasaat
Hangkaray’
Bihayaun
Adlaw-adlaw
Tadi
Dalam sesaat
Sekejap
Sekarang
Setiap hari


3.7.4    Arah

Pada masa dahulu, penentuan arah dalam kaum Suluk dikenalpasti melalui penggunaan istilah-istilah berikut:

Jadual 3.13 Istilah-istilah bagi arah dalam Bahasa Suluk

Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
Subangan/Masrik
Taksina’/Uttara
Saatan
Sadlupan
Timur
Utara
Selatan
Barat

Sumber: Seymour et al. 1975 dan temuramah.





BAB IV


PENGGUNAAN GEOMETRI


4.1       PENGENALAN

Bagi kaum Suluk, anyaman merupakan satu tradisi turun-temurun yang menggambarkan penggunaan geometri sejak awal pembentukan tamadun. Penghasilan anyaman bermula daripada pembuatan rumah seperti atap dan dinding yang diperbuat daripada daun nipah dan rotan sehinggalah aksesori seperti bakul, seko-seko, kalis-kalis, baluy dan sebagainya. Begitupun, arus pemodenan memperkenalkan satu lagi bentuk kraftangan yang bermotifkan corak anyaman tersebut, iaitu renda. Namun kali ini, corak tersebut lebih kompleks dan bervariasi. Renda merupakan himpunan benang yang dikait menggunakan satu jarum kait sahaja. Renda mendapat perhatian di kalangan masyarakat suku kaum Suluk, Bajau dan Bugis di Sabah kerana variasi penggunaannya sebagai alas kusyen, meja kopi, televisyen, tilam, meja makan, rak perhiasan dan pelbagai lagi.

            Dalam bab ini, sampel renda yang akan dibincangkan mencakupi nilai-nilai matematik yang terdapat di dalam renda tersebut seperti bentuk bulatan, segi empat, elips dan simetri radial. Corak-corak geometri tersebut akan dikaitkan dengan takrif-takrif yang berkaitan.

4.2       POLIGON

Berikut merupakan istilah-istilah poligon di dalam Bahasa Suluk yang diperoleh melalui temuramah bersama penduduk di Kampung Kinabutan Kecil, Tawau:


Jadual 4.1  Istilah-istilah poligon
Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
Tidjul
Tivulung
Magpasagi
Segi tiga
Bulatan
Segi empat sama


4.3       TAFSIRAN GEOMETRI PADA SENI CORAK

Berikut merupakan salah satu renda yang dihasilkan oleh masyarakat kaum Suluk. Kebiasaannya, renda yang berbentuk bulat berfungsi sebagai alas meja kopi yang bulat. Motif yang terkandung di dalam renda berikut adalah seperti bulatan, segi empat tepat, segi empat sama, segi tiga, elips dan flora. Justeru, dalam bab ini unsur-unsur geometri dalam renda di bawah akan disentuh dengan lebih lanjut.


Gambar 4.1 Corak Renda



a) Bulatan

Gambar berikut merupakan bulatan yang terletak pada pusat Renda:


Gambar 4.2  Bentuk Bulatan Pada Renda

b) Segi empat selari

Dalam geometri, segi empat selari adalah satu poligon yang mempunyai dua set sisi yang selari. Manakala panjang bagi sisi-sisi dan sudut-sudut yang bertentangan dalam segi empat selari adalah sama. Bentuk segi empat selari yang diperoleh daripada renda adalah seperti berikut:


Gambar 4.3  Bentuk Segi Empat Selari Pada Renda




c) Segi empat sama

Berikut adalah motif segi empat sama yang terbentuk pada Renda:


Gambar 4.4  Bentuk Segi Empat Sama Pada Renda


d) Segi tiga

Bentuk geometri di bawah merupakan hasil yang terbentuk melalui motif buah nanas yang mudah diperoleh gambarannya dalam sekitaran.


Gambar 4.5 Bentuk Segi Tiga Pada Renda



e) Elips


Gambar 4.6  Bentuk Elips Pada Renda

Dalam geometri analisis, elips merupakan sebahagian keratan kon yang terbentuk akibat persilangan suatu satah dengan pepejal kon pada suatu sudut θ dari garisan mencancang. Ini boleh ditunjukkan melalui rajah berikut:
 

                                                                                               
                                                                                                               θ



 

Kon
 






                                                                                                                     Elips

                                                                Paksi kon

Rajah 4.1 Persilangan Kon dengan Garis Satah
Takrif 4.4Elips ialah set semua titik pada suatu satah dengan setiap titik mempunyai jumlah jarak dari dua titik tetap iaitu titik fokus yang lebih besar daripada jarak di antara dua titik tetap itu.

Luas bagi elips adalah πab dengan a dan b masing-masing adalah separuh daripada paksi major dan paksi minor.
A = πab

4.4       KESIMETRIAN

Dalam istilah biasa, suatu benda atau objek dikatakan simetri apabila operasi matematik yang terlibat tidak mengubah objek dan wujudnya. Terdapat dua bentuk simetri iaitu, simetri bilateral dan simetri radial. Simetri bilateral adalah satu imej cermin yang terbentuk pada bahagian lateral objek dan kebiasaanya membentuk satu atau dua garis simetri sahaja. Namun bagi simetri radial, garis simetri yang boleh dibentuk adalah tidak terhingga. Renda berikut merupakan satu contoh simetri radial. Bagi masyarakat Suluk, kesimetrian penting bagi mewujudkan keharmonian dan keseimbangan dalam hasil kraftangan.
                                                                        l

Gambar 4.7  Kesimetrian Pada Renda

















BAB V


PENGGUNAAN MANTIK


5.1       PENGENALAN

Logik atau mantik bermaksud mekanisme tatacara untuk menyusun kata-kata. Logik berasal daripada perkataan Arab yang disebut sebagai “lugik”. Di antara cabang-cabang logik adalah ontologi (kajian tentang wujudnya benda), epistemologi (mengkaji bagaimana mendapat ilmu) dan cabang lain adalah silogisme (kaedah untuk berhujah). Antara sarjana-sarjana awal logik Hindu adalah seperti Kanada, Gautama (Nyaya-Sutra), Vatsyayana (Nyayabhasya), Prasastapada (samghara), Uddyotakara Bharadraja (Nyaya-vartika), Prabhokara (Brhati) dan lain-lain. Rekod membuktikan ilmu logik sudah mula dibincangkan sejak 100M lagi. Namun, cabang ilmu ini begitu sukar untuk difahami sehinggakan tidak begitu mendapat perhatian di kalangan masyarakat kepulauan Melayu.

Peranan mantik dalam sejarah pemikiran manusia menyentuh bidang falsafah, matematik, pemikiran saintifik dan perbincangan ilmu kalam. Mantik telah melalui perjalanan yang panjang dalam tamadun manusia dengan Aristotle telah mengorak langkah pertama dalam sejarah pengasasan ilmu mantik yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Kaedah ini digunakan oleh Euklid dalam matematik dan ahli filsuf dalam ilmu falsafah. Mereka berhujah menggunakan mantik dalam sains tabie dan metafizik. Al-Farabi, al-Kindi dan Ibnu ar-Rusyd menggunakan mantik untuk penghujahan ilmu kalam, falsafah dan matematik dalam tamadun Islam. Ilmu mantik diwarisi oleh Barat melalui tulisan Ibnu Rusyd lalu dikembangkan di Eropah dalam pemikiran saintifik khususnya oleh Roger Bacon, Descartes, Book dan lain-lain.

Sama ada sedar atau tidak, hidup seorang manusia tersebut merupakan satu logik. Kaum Suluk juga tidak terlepas daripada logik tersebut. Penggunaan bahasa dan corak pemikiran yang boleh dikeluarkan dan direkod unsur logiknya merupakan bukti ketamadunan dan identiti etnik ini dari segi perkembangan ilmunya. Begitupun, sama seperti sebilangan besar masyarakat dunia yang lain, ilmu etnomatematik tersebut tidak pernah disedari dan dibincangkan secara serius. Justeru, bab ini bertujuan untuk meneroka unsur-unsur dan membincangkan penggunaan idea-idea matematik tersebut dalam budaya dan tradisi kaum Suluk. Keseluruhan rujukan bagi bab ini merupakan sumber Velasco (2008).

5.2       PERNYATAAN DAN PENGAIT

Takrif 5.1:  Pernyataan ialah satu ayat pengisytiharan yang boleh diberikan nilai benar atau palsu tetapi tidak kedua-duanya serentak.

Contoh  pernyataan adalah seperti berikut:
·         Ikau ini kumaun hadja
Maksud: awak ni asyik nak makan saja
Ayat di atas boleh ditentukan benar atau salah, maka ayat di atas merupakan satu pernyataan. Jika ayat di atas adalah benar, maka pernyataan tersebut adalah bunnal iaitu benar.

Takrif 5.2:  Pernyataan-pernyataan boleh digabungkan oleh pengait (atau pengoperasi) seperti “dan”, “atau”, “jika…maka” dan “jika dan hanya jika” untuk membentuk pernyataan majmuk. Pernyataan yang tidak mengandungi sebarang pengait disebut sebagai pernyataan mudah.

Contoh pernyataan yang mempunyai pengait adalah seperti berikut:
·         Bang ikau mui’, jari wayruun in imiban kaku’
Maksud: jika awak balik, maka tiada siapa yang akan menemani saya
Ayat tersebut merupakan satu pernyataan kerana boleh ditentukan kebenarannya dan ia merupakan pernyataan majmuk kerana terdapat pengait “jika…maka”.

Pernyataan majmuk yang dibentuk dengan menggunakan pengait “dan”, “atau”, “jika…maka” atau “jika dan hanya jika” (atau pernyataan yang membawa maksud yang sama) masing-masing disebut sebagai konjungsi (kay), disjungsi, pernyataan bersyarat atau pernyataan dwisyarat. Justeru, contoh pernyataan majmuk di atas adalah pernyataan bersyarat manakala contoh pertama pernyataan yang tidak mempunyai pengait dikenali sebagai pernyataan mudah (kanyattaan masannang).

Takrif 5.3: Penafian satu pernyataan berlawanan maknanya dengan pernyataan asal. Ia diperoleh dengan mendahulukan pernyataan tersebut dengan rangkap “Adalah palsu yang…”

Contoh penafian adalah seperti berikut:
·         Adlaw ini ulan
Maksud: hari ini hujan
Penafian adalah:
·         Di’ bunnal adlaw ini ulan
Maksud: adalah palsu hari ini hujan
Selain daripada pernyataan di atas, ia juga boleh disebut sebagai hari ini tidak hujan iaitu “adlaw ini bukun ulan”.

Takrif 5.4: Bagi satu pernyataan bersyarat p→q, ditakrifkan akasnya sebagai q→p, songsangannya sebagai ~p → ~q dan kontrapositifnya ~q → ~p.

Bagi takrif ini, contoh pernyataan bersyarat yang lain akan digunakan seperti berikut:
·         Bang hambuuk umbul yaun manjari bahagiun magdua, bukun sia umbul gansar.
Maksud: jika satu nombor itu boleh dibahagi dengan dua, maka ia bukan nombor ganjil.

Justeru, akas bagi pernyataan di atas adalah
·         Bang hambuuk umbul yaun bukun umbul gansar, sia manjari bahagiun magdua.
Maksud: jika satu nombor tersebut bukan nombor ganjil, maka ia boleh dibahagi dua.

Songsangan bagi pernyataan tersebut adalah
·         Bang hambuuk umbul yaun di’ manjari bahagiun magdua, umbul yaun umbul gansar.
Maksud: jika satu nombor itu tidak boleh dibahagi dua, maka nombor tersebut adalah nombor ganjil.
Maka, kontrapositif bagi pernyataan di atas adalah seperti berikut:
·         Bang hambuuk umbul yaun umbul gansar, umbul yaun di’ manjari bahagiun magdua.
Maksud: jika satu nombor itu nombor ganjil, maka nombor tersebut tidak boleh dibahagi dua.

5.3       ISTILAH-ISTILAH MANTIK

Istilah-istilah mantik yang diaplikasikan di dalam kehidupan seharian kaum ini adalah seperti jadual di berikut:

Jadual 5.1 Istilah-istilah mantik dalam kaum Suluk

Bahasa Suluk
Bahasa Melayu
Sibu'
Bang/Basta
Jari
Iban
Atawa
Sali’
Bunnal/Amu
Bukun/Di’ bunnal
Biya’/Ibarat
Awn
Wayruun
Duwal/Sagawa’/Saga’/Sagwa’
Syarat jukup
Kataan
Di’
Sama
Jika
Jadi/maka
Dan
Atau
Seperti/setara/sama
Benar
Bukan/tidak benar
Seperti/setara
Ada/terdapat
Tiada
Tetapi
Syarat cukup
Semua
Tidak

Sumber: Seymour et al. 1975

5.4       TAFSIRAN UNSUR MANTIK DALAM KESUSASTERAAN SULUK

Bagi kaum Suluk, berhibur dengan metafora bahasa adalah sebahagian daripada aktiviti harian mereka sama seperti pantun, sajak, syair, gurindam, seloka dan pelbagai lagi yang diamalkan di dalam masyarakat Melayu. Menyentuh tentang aspek peribahasa, berikut merupakan di antara contoh yang boleh dilihat:

Contoh 1:
In tau nagbubuluk bihasa mahumu marayaw in parasahan niya
Maksud: Orang yang bekerja keras selalu mendapat kehidupan yang baik

Pernyataan tersebut boleh dinilai kebenarannya sama ada benar atau palsu. Pernyataan di atas juga boleh dikaitkan dengan pernyataan bersyarat iaitu pernyataan yang mempunyai kombinasi “jika…maka”.
·         p: Orang bekerja keras
·         q: mendapat kehidupan yang baik

Contoh 2:
In halli’ subay wajib mangadjang ha di’ patumu’ in ulan
Maksud: Seseorang mesti bersedia dengan bumbung sebelum hujan turun

Contoh kedua bagi peribahasa ini adalah bukan pernyataan kerana ayat tersebut tidak dapat dibuktikan nilai benar atau palsu.

Contoh 3:
Kibita in paismu, bang masakit kaymu, masakit da isab ha kaibananmu
Maksud: Cubit kulit sendiri, jika sakit pada diri sendiri sakitlah juga pada saudaramu

p: sakit pada diri sendiri
q: sakit juga pada saudaramu

Contoh ketiga adalah satu pernyataan kerana ayat tersebut boleh dinilai kebenarannya dan boleh dikategorikan di dalam pernyataan bersyarat iaitu “jika…maka”.

Daman merupakan dialog-dialog puitis atau nasihat yang sering digunakan ketika merisik dan dalam upacara perkahwinan kaum Suluk. Ia merupakan kiasan bahasa yang sukar untuk difahami tetapi seringkali menjadi rutin bagi masyarakat awal Suluk bagi menyampaikan niat di dalam hati dengan lebih sopan dan berbunga-bunga. Berikut merupakan contoh bagi daman:

Contoh 4:
(Situasi: Ayah seorang anak gadis terlihat seorang pemuda yang terintai-intai ke dalam rumah anak gadis tersebut)
Kata ayah anak gadis:

Unu bagun gikun
Unu luvid us’usan?
Maksud: Tali apa dipintal
               Tali apa dilingkar?
           
Jawab pemuda tersebut:

Mana’ta lupu
Kimita’ pagtanuman
Bang awn na kantanaman
duun na magjambangan
Maksud: Saya meninjau padang
               Untuk mencari tempat bertanam
               Jika dapat tempat yang sesuai
               di situlah tempat berkebun

Daripada daman di atas,
·         p: dapat tempat yang sesuai
·         q: di situlah tempat berkebun
Contoh 5:
In bawgan’ pana’
Yan da ka kaymu?
Bang kaw biya’ siyumu
Bihun ta kaymu
Maksud: Busur masih ada bersama anda?
               Jika anda sudah jemu menggunakannya, saya nak beli daripada anda.

Respon bagi daman di atas;
Mayta’ mu subay andagan?
Bihun paandigan
Bang kaw biya’ sukuran
Kalu mu mabawgan
Maksud: Mengapa anda perlu bertanya tentang harga
               Membeli secara sindiran
               Jika anda bernasib baik
               Anda mungkin akan dapat busur secara percuma

Bagi contoh di atas,
·         p: anda bernasib baik
·         q: anda mungkin akan dapat busur secara percuma
Ayat di atas boleh menjadi pernyataan bersyarat  atau dwisyarat seperti berikut:
·         Jika anda bernasib baik, anda mungkin akan dapat busur secara percuma
·         Jika anda mungkin akan dapat busur secara percuma, maka anda bernasib baik
Pernyataan tersebut juga boleh dinilai kebenarannya.

Langan batabata adalah lagu yang mempunyai melodi lembut dan menenangkan untuk mendodoi anak-anak kecil supaya tidur. Berikut merupakan contoh Langan Batabata:

Contoh 6:
Dundang ba utu
Tug na ba kaw
Liyalangan ta sa kaw
Bang bukun sabab ikaw
In maglangan mahukaw
Maksud: Tidurlah sekarang anakku
               Aku(ibu) sedang mendodoimu
               Jika bukan kerana kamu
               Ibu tidak suka pun nak menyanyi

Pernyataan bersyarat yang terkandung di dalam bait rangkap di atas boleh dikeluarkan dan ditulis seperti berikut:
·         Jika bukan kerana kamu, maka ibu tidak suka pun nak menyanyi
dengan p: jika bukan kerana kamu
             q: ibu tidak suka pun nak menyanyi

Sindil sering ditemui dalam tradisi Gabbang iaitu tradisi hiburan yang berkonsepkan alat muzik Gabbang. Sindil dipersembahkan secara berpasangan oleh jantina yang berlainan dan berlangsung secara spontan. Sindil merupakan lagu jenaka atau sindiran yang menunjukkan perdebatan kecerdasan akal oleh setiap orang yang mengambil bahagian dalam sindil. Berikut merupakan contoh sebahagian daripada rangkap sindil:

Contoh 7:
Nihma: arri ba dundangun
             aha pantun sila sing pindagun
             a pantun sing pagpindangun
             arri andu arri ba hampil punungun
             ba lugay diq pagdanganun
Maksud: Aku menyanyi sambil berayun dalam buaian
               dengan sabar,
               sehingga aku keletihan
               aku telah menunggu terlalu lama untuk dipanggil “sayang”

Hussin: nagsablay kaw manipis ba manga
              naganggil no ma kaw mga abris
              mga naganggil na mga abris
              arri bang kaw Nihma magkawa misis
              agun ta kaw hipanguntis
Maksud: Engkau memakai pakaian yang jarang
               menyerupai batu bernilai
               menyerupai batu bernilai
               Nihma, jika engkau ingin masuk pertandingan ratu cantik
               aku akan masukkan engkau bertanding

Pernyataan bersyarat yang terkandung di dalam rangkap sindil di atas boleh dikeluarkan dan ditulis seperti berikut:
·         Jika engkau ingin masuk pertandingan ratu cantik, maka aku akan masukkan engkau bertanding.
dengan p: engkau ingin masuk pertandingan ratu cantik
             q: aku akan masukkan engkau bertanding 
(Velasco 2008).





BAB VI


KESIMPULAN


Kajian ini berkisar tentang penerokaan unsur-unsur matematik yang terdapat dalam warisan kaum Suluk sejak awal peradaban sehinggalah kini. Bermula dengan pendedahan pelbagai rentetan kajian etnografi masyarakat kaum Suluk yang sekian lama mendapat perhatian segelintir masyarakat sedunia, seterusnya, pendokumentasian semula sejarah etnografi tersebut dalam versi yang lebih ringkas namun padat. Ini mencakupi persoalan keagamaan, politik, sosial, ekonomi, tradisi dan cara hidup yang penting dalam penerokaan idea-idea matematik yang telah lama diguna pakai dalam kehidupan seharian kaum Suluk. Beberapa persoalan atau unsur-unsur matematik tertentu yang dikenal pasti dan difokuskan di dalam kajian ini, iaitu nombor, geometri dan logik. Nombor dan logik banyak ditemui di dalam penggunaan bahasa seharian, hiburan ketika menyambut sebarang perayaan dan aktiviti harian. Manakala, geometri sering ditemui dalam bentuk material sama ada melalui anyaman, ukiran dan renda. Namun dalam kajian ini, fokus tertumpu kepada renda. Pelbagai jenis bentuk geometri yang dikenal pasti, iaitu bulatan, segi empat dan elips. Kesimetrian renda juga ditentukan. Kesemua unsur matematik tersebut ditafsir keluar dan dikaitkan dengan konsep dan takrif-takrif yang tertentu. Ini menunjukkan bahawa sejak dahulu lagi kaum Suluk telah menggunakan bentuk matematik yang tersendiri dan unik untuk diperhatikan dan dinilai. Justeru, kajian ini diharapkan mampu untuk terus melahirkan lebih ramai pencipta dan penyelidik di dalam bidang matematik menerusi peradaban bangsa yang masih terlalu banyak untuk diteroka.


RUJUKAN


Amilbangsa, Fernando & Ligaya. 1942. Ukkil: Visual Arts of The Sulu Archipelago. Quezon City: Ateneo de Manila University Press.

Asreemoro. 2007. Tausug dan Kesultanan Suluk. Gombak: Asreemoro Studio & Enterprise.

Awang Mohd. Jamil al-Sufri, Haji. 1921. Tarsilah Brunei II: Zaman Kegemilangan dan Kemasyhuran. Brunei: Pusat Sejarah Brunei.

Brumfiel, C.F., Eicholz, R.E. & Shanks, M.E. 1961. Introduction to Mathematics. Palo Alto: Addison-Wesley Publishing Company, Inc.

Cesar, A.M. 1997. MORO: Pejuang Muslim Filipina Selatan. Jakarta: al-Hilal.

Cesar, A.M. 1988. Islam di Filipina. Terj. Shamsuddin Jaapar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Che Man, W.K. 1990. Muslim Separatisme: The Moro of Shoutern Philippines and The Malays of Shoutern Thailand. Oxford: Oxford University Press.

Jacobs, H.R. 1974. Geometry. San Francisco: W.H.Freeman & Co.

Kiefer, T.M. 1970. The Tausug: Violence and Law in a Philippine Moslem Society. New York: Holt, Rinehart and Winston.

Orosa, S.Y. 1923. The Sulu Archipelago and Its People. New York: World Book Co.

Seymour, L.A., Irene Hassan & Nurhadan Halud. 1975. Tausug-English Dictionary: Kabtangan Iban Maana. Jolo: Summer Institute of Linguistics.
Surendranath Dasgupta. 1966. A History of Indian Philosophy. London: Cambridge University Press.
Anon. 2009. Map of The Sulu Archipelago. Http://images.google.com/images?gbv=2&hl
            =en&sa=1&q=sulu+archipelago+map&aq=1&oq=sulu [6 Mei 2009].
Velasco, F. 2008. Tausug Visual Arts. Http://litera1no4.tripod.com/tausug_frame.html  [6 Oktober 2008].





No comments:

Post a Comment