Monday 10 October 2022

Bagaimana inginku luah…

 Sebelum ni, setiap kali datang haid, beberapa hari sebelum perut rasa sakit tak selesa. Hari pertama haid sakitnya bertambah di skala 5/10. Hari kedua 12/10, di luar kemampuan diri. Sakit yang amat sangat seperti contraction ibu mengandung. Tak berhenti, dan darah pun tak berhenti mengalir banyak bersama ketulan darah. Tak tahu nak mengadu bagaimana. Terpaksa gagahkan diri ke klinik atau hospital untuk dapatkan suntikan ubat tahan sakit.. dan sakitnya berkurangan drastik setelah ketulan besar seakan-akan bentuk fetus keluar. Dan bersambung dengan sakit di skala 6/10 sehingga berakhirnya haid yang berpanjangan sehingga hari ke-10 atau 15..

Kali pertama dapat suntikan, semasa kakak balik sabah dan kak rin balik rumah mertua. Berguling macam mana pun kat atas lantai simen, sakitnya tak kunjung hilang. Terpaksa minta tolong di dalam group kerja untuk minta hantar ke hospital. Amir hantarkan. Abang dan kakak ipar rasanya yang jemput balik daripada hospital hantar ke rumah. Itu ke kali pertama? Tak berapa pasti. 

Episod di atas sentiasa berulang setiap kali datang haid. Sama ada berakhir di klinik atau hospital untuk dapatkan suntikan tahan sakit. 

Dan kemudian, haid dah semakin tak datang setiap bulan. Tapi berganti dengan simptom lain. Tekak loya, perut mual dan ceri-beri beberapa hari. Kemudian diakhiri dengan muntah yang sakit sangat. Muntah berpanjangan sehingga keluar keseluruhan isi perut. Dan tekak terasa bagai ditoreh dengan pisau. Setiap kali muntah rasa macam nyawa di hujung tanduk. Sakitnya tak dapat nak digambarkan. Bagai ada yang menjolok dari bawah perut sehingga ke tekak. Dan kadang dalam masa yang sama, muntah dan ceri-beri berlaku serentak. 

Dua episod tersebut, ketika haid sakitnya tak tertahan. Ketika tak datang haid, muntah menyakitkan. Dan sepanjang masa bahagian bawah belakang sakit tak dapat tidur sangat waktu malam. Kebiasaannya, terpaksa tidur dalam keadaan duduk. 

Namun apa yang lebih menyedihkan, aku tetap masuk bekerja seakan-akan tiada apa-apa berlaku. Kugagahkan setiap langkah. Dan selalu terlewat masuk ke pejabat. Apa yang mampu kujadikan alasan kepada majikan? Tiada. Sama ada aku bekerja atau terpaksa diberhentikan kerana masalah kesihatan. Tak cukup itu, prestasi kerja kakak pun terganggu sebab sentiasa berjaga malam bila terpaksa membawaku ke klinik atau hospital. Dan ketika waktu bekerja bila aku memerlukan bantuannya. Keadaan diri ni, aku faham benar. Cuma bagaimana nak berhenti kerja dalam keadaan semua ahli keluarga bergantung padaku? Bukan setakat aku perlu fikir bagaimana ingin menyara diriku, tapi juga ahli keluargaku. Bagaimana? Ada kah ruang dan pilihan buatku? 

Kali ni, ketulan yang tumbuh di badanku bertambah lagi. Kini merebak ke belakang dan pinggangku. Mula-mula di lengan dan pehaku. Kemudian ke perut dan dadaku. Ya Allah, adakah ini akan menjadi asbab pertemuanku denganMu? Setiap hari badanku terasa semakin lemah dan sakit.  

No comments:

Post a Comment