Monday 9 September 2019

Unseen - U01

Bila teringat ibu, dunia terasa bagai ada angin sepoi yang menenangkan. Segala ruang lingkup pandangan bagai kembali ke zaman usang tapi indah. Wajah dan tubuh muda ibu seolah lincah dan tertawa gembira di sisi tubuh kecil kami adik beradik.

Ibu, aku tak mempunyai banyak kenangan yang boleh kuingat berasama abang dan kakak. Kerana usia mereka 5 dan 7 tahun lebih tua daripadaku. Mereka matang dalam usia muda. Bekerja dalam usia muda. Dan membesar ketika aku masih belum cukup besar untuk menyedari kehadiran mereka. Hanya beberapa kenangan bersama ketika kecil yang samar-samar. Namun beberapa kenangan itu sentiasa membuat dadaku sebak. Aku melihat abang yang membawa beg pakaian untuk bertolak ke Kuala Lumpur mencari pekerjaan. Abang beritahu ada pekerjaan dah sedia menunggu. Rupa-rupanya baru nak cari dan abang pernah tidur dan mandi di masjid semasa tiada tempat tinggal. Dan berlapar ketika tiada duit. Abang tipu sebab abang tahu mak susah hati lepaskan abang pergi dalam keadaan macam tu. Abang, air mata ni mengalir ketika menaip barisan ayat di atas. Jika suatu saat nanti abang dapat baca tulisan ni, ketahuilah abang, kenangan abang ketika meninggalkan rumah masa tu dan melambai adik abang ni... Suasana dan perasaan ketika itu tak pernah hilang daripada ingatan. Dalam setiap hening malam dan setiap ketika, air mata mengalir dan diiringi doa semoga satu masa nanti aku dapat melihat abang bahagia di dunia dan akhirat. Dan abang ingat tak ketika hari pertama adik abang ni sampai ke semenanjung untuk pendaftaran masuk ke UKM. Kereta kecil kawan abang yang jemput. Dan duduk beramai-ramai di dalam kereta bersama-sama kawan abang. Sampai satu tempat, ada seorang kawan abang lagi naik. Dan abang beralih ke belakang bonet kereta. Rupa-rupanya abang duduk di bonet kereta sehingga sampai ke destinasi seterusnya. Air mata mengalir tanpa sedar. Dan masa tu terdetik dalam hati... Semoga satu hari nanti Allah akan memberikan kebahagiaan dan rahmatNya buatmu abang. Banyak lagi bang yang ingin aku nukilankan di sini. Begitu juga kakak. Akan kurakamkan setiap saat yang bermakna itu satu-satu akan datang nanti. Ketika aku masih bernafas di dunia. Kerana untuk penulisan ini, ada sesuatu yang ingin aku sampaikan.

Hidup kecilku hanya diwarnai dengan kehadiran ibu. Sedikit kenangan bersama ayah dan adik. Tanpa kenangan yang banyak bersama kamu abang, kak.

Ibu... Dialah segala-galanya yang meliputi isi rumah usang tersebut. Di segenap ruang rumah tersebut tiada satu pun yang tersisa tanpa sentuhan tangan ibu. Daripada kerja wanita sehinggalah kerja seorang lelaki, ibu cekap dalam serba-serbi. Termasuklah memberi pendidikan kepada kami adik beradik. Dalam keadaan ibu tak pernah bersekolah. Akan kucoretkan satu demi satu kenangan bersama ibu. Kenangan yang begitu berharga buatku. Jika ada sesiapa yang mengatakan aku tak berharta dan percuma sahaja belajar tinggi tapi tak mempunyai apa-apa... Dengan bangga akan kukatakan... Aku terlalu kaya kerana Allah menghadiahkanku seorang ibu. Satu nyawa dan kejadian yang Allah Maha Agung menciptakannya dan membolehkan kejadian tersebut melahirkan dan mengasihiku. Bukankah aku seorang jutawan dan lebih lagi daripada jutawan tersebut.

(Bersambung)