“Monolog Buat Pencinta”



Aku di meja biasaku. Setiap hari melalui hari-hari yang sama dan jalan yang sama. Tiada apa yang berubah sebenarnya. Apa yang berbeza adalah persekitaran. Cara pemakaian. Cara bertutur. Namun aku masih aku. Seorang yang sentiasa hanyut dengan dunia sendiri yang kadang-kadang terasa sepi sangat. Temanku hanyalah berbicara dengan alam dan penciptaNya. Melalui hari-hariNya dengan ketabahan untuk setiap tangisan yang datang. Ujian. Memang sakit dan kadang-kadang keliru untuk memikirkan hakikat kewujudan ke dunia. Terasa kadang tidak bermakna dan tak berharga. Dengan segala perkara dan keterlanjuran yang merosakkan apa yang dijaga selama ni.
Siapa aku. Kadang persoalan tersebut terlalu membebankan jiwa. Hakikat kelahiranku dan sumbanganku. Aku dilahirkan dengan kalimah yang dibisikkan di telinga saat pertama kali aku menghirup udara dunia. Dengan janji yang mulai dilupakan sedari alam perut ibu bersama Yang Esa. Aku tak pernah tahu aku pernah berjanji sebesar itu sehingga aku mengenal erti kelahiranku yang hakiki.
Aku dilahirkan dengan sebuah nama yang diberikan oleh insan yang kukenal sebagai orang tuaku. Mak dan ayah. Sejak saat itu, aku adalah si fulan yang berbintikan si fulan. Doa tersebut berterusan sehingga salah satu cirinya melekat dalam diriku. Kelembutan. Kelembutan yang kini kulihat seakan makin sirna dek pengruh dan penjagaan yang berkurangan daripada diriku sendiri.
Justeru, dengan nama itu, aku menginjak alam kanak-kanak yang sukar dimengertikan. Tanpa ada perasaan untuk mempunyai teman sendiri yang bernama manusia. Bagiku, teman yang terbaik dan takkan pernah menyakitiku adalah sebuah buku dan sebatang pen yang akan sentiasa silih berganti. Mereka temanku sehingga saat mereka perlu meninggalkanku dengan terpaksa. Sama seperti manusia makhluk Allah. Satu saat akan pergi jua. Namun pemergian sahabat sejatiku lebih cepat berbanding manusia. Saban hari kutangisi lebih-lebih lagi dalam kedaifanku untuk mencari pengganti mereka secepat mungkin. Dua, tiga dan ada yang mencapai seminggu… dan kemudian mereka pergi. Dunia yang sentiasa membuatku suram dan sepi. Namun aku bahagia ketika mereka setia menemaniku.
Begitulah saban hari. Dunia yang kulalui tanpa sedetik pun kusedari janji yang lebih besar rupanya menantiku di usia yang kian meningkat. Aku layu pada meja dan tingkap rumahku yang setia memberikan sepoi angin laut yang nyaman. Warna hijau, biru, putih dan coklat itu adalah teman baik yang mendodoi ketika aku kesedihan dan memberikanku ilham ketika kebuntuan. Tempatku berbicara hanyalah pada awan, pada angin yang berdesis lalu menyapa tubuhku, pada air yang kadang kutakuti keluasan dan kedalamannya dan pada pencipta segalanya.
Hidup yang kukenali sejak awal kufahami dunia ini adalah hidup yang penuh dengan serba kesuraman yang tak mampu kugambarkan dengan perkataan. Kuharungi dengan kekuatan yang mahu atau tidak terpaksa kuterima dan kuhadam. Teringat ayat seorang hamba Allah…dunia yang kejam ni takkan pernah memberikan pilihan buat kita. Perlu jua dilalui dan berusaha untuk diperbaiki.
Kegelapan itu mengajarku erti rendah diri. Rendah diri pada dunia yang makin berbeza setiap kali kujejaki titian usia. Tiada bekalan. Tiada kemahiran. Tiada sesuatu pun yang kurasa mampu kubanggakan untuk mambuatku tampil sebagai seorang yang bermaruah. Perjalanan hidup tersebut menjadikanku seorang pemerhati kepada keadaan yang kuamati melalui kematanganku sendiri. Kematangan pada usia yang tak sepatutnya. Dan kutangisi pada tahap yang tak mampu dicerna oleh insan lain.
Dan segala-galanya bermula pada satu masa. Satu saat aku mendengar kalimah yang buat pertama kali kudengar awal kelahiranku. Aku terduduk pada anak tangga surau yang memberikanku hidup baru. Surau yang pertama kali kujejak dengan satu pencarian yang didorong oleh satu ilham yang selama ini memimpin perjalananku. Di situ, aku menangis… menggenggam sekeping kertas yang aku sendiri tak pasti apa isi kandungannya. Lupa. Ia kenangan yang dah berlalu namun terlalu berharga untuk kulupakan.
…Selangkah engkau mendekatinya, seribu langkah Dia mendekatimu…
Setitik. Dua titik. Dan akhirnya teresak-esak menahan suara tangisan agar tidak memecah laungan azan. Kesyahduan yang hanya insan yang mengenal erti hidayah akan merasakan yang sama dan tahu walaupun tanpa diluah. Kehangatan kasih sayang yang membuat si pencinta mabuk dalam cintanya.
            Itu saat pertama kali aku merasakan sesuatu yang luar biasa. Dan luar biasa tersebut kemudiannya sentiasa mengisi hari-hari seterusnya. Sehinggalah kejahilanku kadang-kadang membuatnya timbul tenggelam. Timbul tenggelam! Timbul tenggelam! Sengaja kuulang berkali-kali. Dan kalau boleh, beratus juta kali pun agar aku sedar betapa hinanya diriku sebagai seorang hamba. Kemarahan yang hanya Dia jua penenang.
            Manis. Pahit. Akhirnya kulalui sebagai orang baru dalam beragama. Namun, pahit masih lagi mengawal kemanisan yang kuterima. Tidak bersyukurkah aku… kerana pernah terbaca pada lembaran hidayah yang aku sendiri tak pasti di mana kutemui…
            …kebahagiaan hanya bagi mereka yang tak pernah kisah dengan kesalahan orang lain…
Dunia terasa sempit dengan kehadiran manusia yang tak pernah sudah-sudah menyakiti. Namun, untaian ayat di atas membuat aku sedar bahawa aku takkan pernah rugi jika membiarkan mereka menyakitiku. Keindahan yang aku pelajari…
            …alangkah indahnya orang yang beriman. Kejahatan dibalas dengan kebaikan…
Dengan berbekalkan apa yang kuterima sebagai ilmu pemberianNya… saat demi saat yang bertambah sedikit demi sedikit… aku mengubah penampilanku. Kerana aku mulai malu dan segan pada jalanku. Pada apa yang ada pada diriku. Aku mulai membalutinya agar tersembunyi walau di mana pun jalan dan tempat yang perlu kulewati. Agar aku mampu melangkah walau terpaksa tunduk memandang bumi. Langit yang kebiruan hanya menjadi santapan mata tatkala statik dan tatkala terasa ada kekuatan untuk melangut.
            Aku berubah menjadi seorang yang dingin dan bisu pada kejadian yang berlaku di sekeliling. Hanya pandangan mata yang berbicara bila bertemu dengan suasana yang menyentuh sanubari. Bibir terkunci rapat. Lebih rapat daripada sebelumnya. Dan hanya terkadang seulas senyuman kulemparkan buat seorang dua sahabat yang kukenali sebagai naqibah dan yang memnadangku dengan pandangan yang mesra.
            Sikap yang sukar untuk dicernakan. Aku malu berada di kalangan mereka. Siapa mereka… persoalan ini dulu kusambut dengan senyum pahit kerana tiada siapa yang mampu merasa betapa berdebar dan tak stabilnya bila menerima sesuatu yang memang tak mampu lagi untuk diterima. Persediaan yang masih belum cukup. Aku malu kerana tak mampu menahan rasa malu di hadapan mereka. Aku malu kerana tidak mempunyai kekuatan untuk bersuara seperti mereka. Dan lama-kelamaan, aku terasing. Jauh daripada sahabat yang sering menggenggam erat jemariku. Aku semakin tunduk. Kalah dengan fitrah diri yang kadangkala ada percanggahan dengan mereka.
            Hari demi hari terus berlalu. Kubiarkan segalanya menghilang dengan kesibukan harian yang menuntut terlalu banyak komitmen. Teman silih berganti datang dan pergi. Ujian yang berterusan. Kadang jatuh dan kadang bangun semula. Pahit manis hidup yang terlalu mual untuk kucanangkan satu persatu. Cukuplah kehidupan yang berlalu itu mengajarku sesuatu. Kematangan. Kesabaran. Ketabahan. Kekuatan. Dan perkara yang perlu aku hargai saban waktu. Dan aku membesar… bukan sahaja dari segi batin… namun jua zahir. Aku kini seorang perempuan dewasa yang akan meniti status wanita. Bukan lagi remaja. Telah lama usia tersebut menghilang.
            Aku lupa aku seorang wanita biasa sehinggalah aku merasai sesuatu yang belum pernah aku rasakan sebelum ni. Aku mulai mencari satu nama. Satu nama yang sentiasa mengganggu tidur malamku. Satu nama yang sentiasa membuat aku terkilan dengan dunia yang baru kusedari apa isi dan putarannya. Satu nama yang membuat aku tertunduk sayu lagi. Satu nama yang menjadi dambaan semua wanita. Hatta diriku sendiri. Satu nama yang selama ini cuba kunafikan terjadi pada diri sendiri.
            Aku ingin mulakan segalanya pada saat mata ini terpana pada satu nama yang terpampang pada skrin sebuah capaian yang dicipta oleh Yahudi. Berkali-kali aku fokuskan pandangan pada perkara lain, namun setiap kali itu jua aku sering terdampar pada halaman pemilik profil sebuah nama tersebut. Ada sesuatu yang membuatku tertarik untuk terus meneroka si gerangan. Tak tahu apa yang kucari namun aku terus meneroka. Sehinggalah dada skrin kututup dan kuakhiri dengan butang ‘Shut Down’. Aku termenung di hadapan pc yang gelap. Kelam. Dan pandangan yang terhunjam adalah padangan keletihan. Bukan letih zahir. Letih perasaan.
            Itulah pertama kali aku merasa satu perasaan yang lain daripada kebiasaan. Hukuman buat pandangan mata yang kuhunjamkan ke atas yang bukan mahram tanpa sengaja. Namun dosa tersebut membawaku semakin jauh daripada falsafah hidup. Aku gagal sebagai mujahidah. Aku gagal sebagai da'ie. Aku mengecewakan janji besarku. Itulah saat keruntuhan diri dan peganganku. Saat tidak bernilainya insan yang bernama fulan binti si fulan. Saat di mana air mata ini takkan mampu menghilangkan rasa jijik terhadap perasaan dan fikiran yang dinodai. Harga diri yang selama ini dipertahankan hilang dan kucampak begitu sahaja.
            Inilah yang berlaku dan terpaksa kubiarkan terakam dalam memori hidupku. Ia telah menjadi sebahagian daripada aku walau betapa benci dan kesal menyesakkan dada. Walau betapa dalam lautan air mata yang perlu mengalir untuknya. Dan walau betapa sakit tika memikirkannya. Ia telah menjadi sebahagian daripada kenangan yang mencalar diriku. Sujud dan terjatuh di hadapan yang menciptakanku. Pada saat aku mulai mengenaliNYA…mengenali janjiku kepadaNYA…mengenali kasih sayang dan kemurahanNYA…mengenali hidayahNYA…
            Air mata ini takkan pernah berhenti. Air mata penyesalan ini takkan pernah berhenti. Duhai yang akan hidup beribu tahun lagi…yang memberikan solat yang terbaik kepadaNYA…yang mengaku mencintaiNYA…air mata ini takkan pernah berhenti. Kerana dulu aku juga seperti kamu. Tumpas dengan kehinaan yang tak mampu ditebus walau dengan apa pun. Peliharalah dirimu. Peliharalah walau terpaksa menelan didihan air besi atau sulahan tombak yang tajam. Peliharalah. Tiada yang lebih sakit daripada penyesalan akibat kezaliman yang dilakukan setelah mengenaliNYA. Setelah mengenaliNYa. Setelah mengenaliNYA. Setelah mengenaliNYA. Tak pernah kurasakan kesakitan yang maha hebat selain daripada penyesalan ini. Maka, peliharalah. Jangan biarkan kamu merasakan penyesalan yang sama.
            Dan DIA masih menyayangiku… DIA masih menyayangiku. Setelah apa yang kugadaikan untuk membelakangiNYA, DIA masih menyayangiku. Duhai…mampukah dibayangkan perasaan malu ini. Bukan malu terhadap makhluk yang sama sepertiku. Bukan malu kepada seorang abid yang beribadat puluhan tahun dengan merendah diri kepadaNYA. Aku malu pada Rabbku…aku malu pada Rabbku…aku malu pada Rabbku.
            Dan segala-galanya mendatangi mindaku. Bagaimana aku mencintai seorang makhluk lebih daripada kecintaanku kepada Rasul dan Rabbku…
            Bermula dengan perasaan simpati. Aku mudah mengasihani. Aku mudah menyayangi. Bukan menyayangi dalam erti kata sesama yang bukan mahram. Aku mudah mengasihani makhluk Rabbku yang berada dalam kesedihan. Aku mudah tersentuh dengan perasaan makhluk Allah yang dirundung kesedihan. Mungkin natijah daripada kesedihan yang kurasakan selama ini menerbitkan perasaan perjuangan untuk memberikan hidup yang terbaik kepada makhluk yang lain juga. Aku ingin mereka sama-sama merasakan kebahagiaan yang kurasakan berkat bersangka baik padaNYA dan meletakkan sepenuh pengharapan kepadaNYA. Dan pada masa yang sama memberi kekuatan kepadaku untuk lebih terdorong menjadi perantara Ilahi untuk terus menyebarkan senyuman redha dan tawakkal kepadaNYA.
            Kukirimkan pesanan ringkas melalui inbox sistem Yahudi tersebut. Pada satu nama yang sentiasa menarik pandanganku. Pada satu nama yang turut membuatku sedih dengan kesedihannya. Dengan kesedihan yang tak terbendung sehingga dia membiarkannya terpapar untuk pandangan umum. Kerana aku pernah merasakan tangisan yang sama dalam keadaan yang baik. Alhamdulillah dalam keadaan yang baik dan terjaga. Namun masih merasakan kesedihan yang sama seperti yang dirasakannya. Dan semuanya bermula di situ.
            Sedikit demi sedikit, perasaan tersebut bercambah tanpa sedar. Setiap kali aku cuba lari. Tanpa pengetahuannya. Kerana aku sedar aku takkan pernah mampu untuk menjadi seorang sahabiyah buat seorang yang bukan mahram. Dan aku mula melihat sifat yang tak mampu kuterima dan kucerna dengan akal dan pendirianku. Bertambah-tambah keinginan untuk memutuskan silaturrahim yang padanya tiada celanya. Dia adalah dia. Aku adalah aku yang kekal dengan pemikiran konservativku jika perlu ditakrifkan sedemikian. Aku menolak persahabatan antara lelaki dan wanita walaupun tanpa sedar aku melakukannya dengannya. Namun sejujurnya, aku tidak pernah menjalinkan persahabatan. Persahabatan hanya sesama muslimah. Yang kuikat bersama yang bukan mahram mahupun mahram adalah persaudaraan. Akhi dan ukhti tanpa sebarang perasaan yang lebih. Namun dengannya, aku tahu aku menyimpan perasaan yang lebih daripada sekadar seorang akhi. Justeru, aku sebenarnya tidak pernah menjalinkan persahabatan dengannya. Bukan sahabiyah.
            Perasaan tersebut membawaku jauh dan dekat dengannya. Pergi dan kemudian datang semula. Pegangan dan kesedaran kepada agama membawaku jauh dan kasih sayang kepadanya membawaku kembali kepadanya. Duhai yang mengaku mencintai Rasul dan Rabbnya…kasih sayang ini tidak pernah memberikan ketenangan dan kebahagiaan yang kononnya ingin dicari. Yang kuperolehi hanyalah tangisan. Yang kuperolehi hanyalah hukuman kerana menderhakai persahabatan sejatiku dengan hidayah yang telah dikurniakan Rabbku. DIA telah memberikanku teman baik yang cukup sebagai penghapus air mata. Teman yang mamapu kupercayai walau dalam tangisan dan kegembiraan. Yang takkan mengkhianatiku. Yang benar-benar menyayangiku. TAQWA. Aku meninggalkannya untuk kasih sayang yang menghancurkanku. Untuk satu kegembiraan sementara yang tak mampu memberikanku kebahagiaan seindah TAQWA.
            Apa yang tinggal hanyalah sepasang mata yang letih dan kering. Hati yang takkan berhenti merasa pedih. Dada yang tak berhenti merasa sesak. Minda yang tak berhenti dihantui penyesalan. Dan diri yang terasa kotor.
            Janji hanyalah sebuah janji. Bak tulisan yang dicoretkan pada tepian pantai. Sekali ombak memukul, hilang bersama butiran pasir. Janji seorang makhluk yang tidak berdaya. Duhai makhluk Allah yang mengaku mencintai Rasul dan RabbNYA, untuk sesuatu yang tak mampu memberikanmu mudarat bahkan manfaat inikah yang kau cari sehingga menggadaikan Rahmat Allah yang pasti dan hukuman yang pasti. Neraka itu adalah hak. Neraka itu adalah hak. Neraka itu adalah hak. Mampukah untuk dilalui barang satu malam pun di dalamnya. Bahkan satu saat pun takkan mampu dilalui.
            Kini aku teguh berdiri sendiri. Hanya berteman kekuatan daripadaNYA. Keyakinan akan kebaikan daripada kasih sayangNYA buat hambaNYA yang kembali kepadaNYA. Aku mampu tersenyum dalam kepahitan. Mensyukuri segala yang masih ada. Diriku. Sebagai seorang hamba dan mujahidah. Kerana mujahidah itu adalah mereka yang melawan kehendak nafsu menguasainya demi Rasul dan Rabbnya.
            Kebahagiaanku hanyalah pada jagaku di akhir malam. Dengan secebis kekuatan yang masih dinodai kejahilan, kunikmati kelazatan tahajjud dan ayat-ayatNYA yang tercatat pada helaian demi helaian. Pada tapak tangan yang menerima setiap hak mereka daripada apa yang dijadikan aku sebagai perantaraNYA. Pada senyuman yang dijadikan aku sebagai penghibur olehNYA. Dan pada setiap perkara remeh yang kurasakan redhaNYA bersamanya.
            Aku semakin cepat melangkah. Momentumnya kian hari kian sama seperti sebelum ini. Saat kegemilanganku dulu. Ya aku pernah terjatuh. Sakit. Dan aku mengeluh sebentar. Dan kemudian aku tersenyum mensyukurinya kerana jatuh itu menyelamatkanku agar tidak terus jatuh pada tempat yang lebih tinggi. Dengan kejahilan dan keterbatasan ini, tidak mustahil aku akan sentiasa jatuh. Namun, biarlah jatuh ini seringkali menambahkan keimanan dan keredhaanNYA kepadaku. Itu lebih kusyukuri daripada terus berjalan pada tanah yang datar tanpa mendapat satu apa pun yang bermanfaat buat diriku.
            Perjuanganku makin tampak jelas. Lebih terang daripada terangnya bulan. Lebih kemilau daripada kemilaunya sang mentari. Aku ingin menjadi seorang hafizah jika Rabbku mengizinkan. Dan menjadi seorang yang fasih berbahasa dalam bahasa Rasul dan al-Quranku. Itulah impian terbesar dan terlalu sukar untuk kucapai. Namun takkan pernah menjadi mustahil selagi aku mahu mencapainya dan selagi redha Rabbku bersama-samanya. Langkah kecil yang bakal kulakukan mudah-mudahan memberikan yang terbaik buat diriku. Aku ingin mencapai impian yang selama ini tertanam dalam diriku. Sedari kecil. Kebahagiaan yang takkan pernah mati seperti dalam cerita dongeng. Aku ingin melakar sendiri cerita dongeng buat diriku. Dan sekali lagi, mudah-mudahan Allah meredhai.
            Air mata bagai ingin jatuh daripada kelopak mata. Senyuman kebahagiaan. Aku ingin menghadiahkan korban buat Rabbku. Sesungguhnya DIA tidak berhajat kepada makhlukNYA. Aku ingin membuat pinjaman yang terbaik seperti yang pernah dirakamkan oleh Rabbku dalam ayat-ayatNYA. Mudah-mudahan dengannya, Allah memberikanku teman yang terbaik untuk menemaniku dalam perjuangan ini. Dan mudah-mudahan dengannya, Rabbku memberikanku keluarga yang sholeh dan sakinah. Ketaqwaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amiin…

No comments:

Post a Comment