Sunday 2 December 2012

aku saksi

Andai sahaja
Merah darah yang terpercik dengan raungan tangis si kecil itu
Tidak  pernah dihulur dengan senyuman dan dakapan yang suam darinya
Aku tidak akan pernah tahu
apa erti menjadi seorang yang begitu bertuah

aku saksi
pada pagi yang menjelma
walaupun tidak pernah merasa mewah
kudrat muda sehingga tuanya mencukupi...
membekali...
mengisi setiap kekosongan agar tiada yang buruk menembusi.
pergi dan datang dalam kegelapan
khusus untuk membentang perjalanan yang baik untuk ditelusuri...
bukan ruang untuk dikecam ketiadaan
menjadi anak yang kononnya kurang kasih sayang
bahkan menjadi suluh untuk diteladani
agar ketabahan itu menjadi benih...
kepayahan itu menjadi batang yang menjalar tinggi...
impian itu menjadi pucuk yang mencapai mentari...

aku saksi
pada sudut dan waktu yang paling kelam
ada rentak pada degup jantung yang kepedihan
diselimuti senyuman dalam suara yang serak memuji kebesaran
lukisan tangis pada wajah yang keletihan
dan tanpa sedar
singgah kucupan si kecil yang mengerti dalam kekerdilan
dan berjanji dalam suara yang begitu perlahan

aku saksi
dalam sendirian menyepadu kekuatan
menjadi segalanya dalam keterbatasan...
keterkilanan yang disimpan terlalu dalam...
kekosongan namun memenuhkan
apa yang tiada sehingga ada
buat si kecil betapa tiada tara...

aku saksi
kehilangan bukan alasan
untuk dihambur kekecewaan
untuk dicipta kebinasaan...
ia disaluti bunga-bunga putih
pada batang yang sebenarnya letih mendaki
tampak indah tanpa mencacati
pokok besar hutan duniawi...

andai sahaja
aku tidak pernah memiliki
aku saksi...
aku pasti menjadi pucuk
yang akan mati

Wednesday 8 August 2012

bisu...

aku terkesima
terduduk
tersungkur
dan termangu
pada langit yang kebiruan
burung-burung yang berterbangan
tidaklah lagi seteguh selalu
keteguhan yang akhirnya rapuh
dengan arus deras sungai yang ditongkah
ingin ke hulu
menggapai pangkal hidup yang baru
namun semakin hanyut
longlai dalam fitrah hati yang menebak dengan telinga dan pandangan
tanpa ada mata hati
untuk meyakini sesuatu yang tidak pernah diselami

bisu ini...
masih bersisa kekuatan
dalam kejahilan
masih tetap mahu melangkah
dan masih terus untuk bangun
bukan untuk butir-butir maruah yang hilang
ia karang yang nampak usang
khazanah lautan yang diam dan beku
menyimpan keperluan yang ghaib bagi mata kasar
namun sumber pada yang seni dan tak kelihatan

bisu ini...
walaupun tajam bukan untuk menyakitkan
ia karang yang terbiar
tak berniat untuk melukakan
luka mereka kerana kegelojohan
gagal untuk mengenali dan menghayati
lalu menyakiti
dan berpaling pergi

bisu ini...
percayalah
ia tahu langit biru yang indah pada dongak langutnya
ada Ilahi
kelembutanNya...
pada setiap desis angin yang menyapa pipinya
ada Ilahi
lagu yang melenakan tidurnya...
ia lemah dengan kekurangannya
kejahilannya
namun kelemahan itu mengajarnya untuk terus melangkah
mencari kasih sayang Rabbnya
langkah sumbang dan sepi
langkah hambar dan pincang
maafkanlah
sepertimana ia tahu
Rabbnya lebih mengetahui
isi hati yang tersembunyi...

Thursday 14 June 2012

duri yang paling tajam

duri yang paling tajam
bukan fitnah daripada bibir-bibir yang asing
yang singgah seketika dan kemudian berterbangan

duri yang paling tajam
bukan tertusuk di medan peperangan
jatuh dan hilang
bukan sahaja jasad
bahkan nama tenggelam

duri yang paling tajam
bukan terpijak kaca dan kesakitan
terbiar keseorangan
dengan tangisan yang sama derasnya
dengan aliran darah yang berpercikan

seorang teman
pejam celik dengan senyuman
hati ke hati berkongsi dalam perjalanan yang panjang
memulangkan bunga yang layu
yang segarnya tidak kelihatan
ia...
kata-kata bak pedang
menikam ke jantung yang paling dalam
ia duri yang paling tajam...

Tuesday 12 June 2012

kolam hati


Bicaraku tentang kolam hati
ia dalam dan sukar untuk kuselami
namun jangan kau bimbangi
airnya tidak keruh dan tidak juga jernih
mungkin kerana semalam hujan turun
dan membanjirinya dengan lopak tanah yang berdebu

Yakinlah…
ia akan kembali jernih
yang berat akan mendap
pasti tersimpan jauh ke dasar
bicaraku tentang kolam hati…
usah diresahkan lagi

aku yang aku...


Maafkan aku
Menjadi begitu ganjil di kalangan kamu
Hati yang sempit terlalu degil
Liat untuk akur pada arus yang terbentang harus
Celik mengamati namun koma mengadaptasi

Maafkan aku
Menjadi begitu puitis dan terlalu halus
Begitu peka merasai walau sedikit pun sumbangnya melodi
Pada nada-nada yang tampak biasa bagi umum

Maafkan aku
Menjadi sesuatu yang berbeza
Jauh daripada zaman dan peradaban semasa yang tercipta
Aku hanya seorang insan yang telah lama hilang
Jauh dalam keterbatasan yang menjadi penghalang
Pada setiap jeriji yang memagari
Teguh menggalas kata-kata
Pesanan kampung yang tidak lagi relevan dengan masa

Maafkan aku
terlalu berbasa-basi mengakui
aku anak kampung yang diajar dengan seribu satu pantang larang
dari sehalus bahasa sehinggalah sebesar tingkah laku
kerana ia cermin
yang aku bawa daripada ibu dan ayah
dengan amanah segunung di bahu
agar aku terus menjaga
dan aku terus menjaga
sehingga aku menjadi begitu berbeza
menjadi begitu rumit di mata biasa

andai ada kesempatan dan masa
aku masih memilih aku yang sama
walau berapa kali pun aku tetap berbeza…
aku masih memilih aku yang sama
aku masih memilih untuk menjadi aku yang lama
maafkan…

Monday 4 June 2012

apa yang tidak aku lakukan

apa yang tidak aku lakukan
untuk meraih sebuah kehidupan
yang ada akar kukuh
bertapak sejauh mungkin ke dalam bumi
walau generasi demi generasi cuba mencantas
ia tetap akan tumbuh
tetap akan menjalar naik ke atas

apa yang tidak aku lakukan
untuk menyemai benih-benihnya
demi harapan
untuk melihat satu masa nanti ia akan tumbuh tinggi menjulang
memayungi sekian ramai makhluk yang ingin bersandar padanya
memberikan buah untuk menghilangkan lapar dan dahaga
menahan terik mentari daripada terus memancar membahangi bumi

apa yang tidak aku lakukan...
dengan keterbatasan yang ada
titisan demi titisan air mata
kesakitan yang sentiasa menjadi teman setia
apa yang tidak aku lakukan
mencari jalan keluar
dari sesukar-sukar sehingga jalan mudah
berfikir dan mengamati perjalanan yang ditongkah

apa yang tidak aku lakukan
untuk segunung harapan di mata orang tua
pada bahu kecil yang lemah untuk memapah
apa yang tidak aku lakukan
pada sekecil harapan untuk meraih kejayaan yang datang akhirnya
menjadi sebesar agenda untuk disakitkan

apa yang tidak aku lakukan
untuk berdiam pada kekejaman
namun masih tampak tidak cukup dan masih meluatkan
apa yang tidak aku lakukan...
sebagai seorang manusia dan hambaNya
aku cukup mengalah dan beralah
masih belum cukupkah duhai saudara...

senyaplah dan dengarkan tangisan yang malu untuk bersuara
berhenti seketika dan pandang air muka di wajah
keletihan ini...
jangan ditambah bebannya lagi...
ia lemah daripada yang sering engkau jangka
ia bukan akar yang tumbuh jauh ke dalam bumi
untuk sengaja kau jadikan ujikaji bagaimana ia bermandiri
masih teguh dalam kepupusan
akarnya akan mati
bunganya akan layu
rantingnya akan patah
ia tak pernah kebal dengan sumpah seranah
ia tumbuhan yang pasti akan mati
dengan baja kebencian yang sehari-hari mengiringi...
benarkan sedikit hujan melimpahinya
sedikit...
dengan sikap tamak haloba manusiawi
dia mengerti...
sedikit cuma
dan benarkan ia untuk terus memayungi
ada anak-anak renek yang menumpanginya
yang perlu kepada wujudnya...

Wednesday 18 April 2012

Ahlan Wa Sahlan



Aku tersenyum di balik cermin yang menghalang
Gelap di balik "tinted"
dengan pandangan yang akan sering berkeliaran
lincah menulari setiap ruang dan gelagat di jalanan
menghadam setiap isi dan mencerakinkan
agar boleh kupersembahkan kepada jutaan yang ingin mendengar dan membisu
biarlah abstrak untuk difahami
sekurang-kurangnya ia bakal menyerlahkan siapa dan di mana jutaan itu berdiri...
dengan lafaz bismillah
aku menyepadukan azam yang bersisa
menggapai impian yang hampir-hampir tenggelam
dengan kesungguhan untuk turut sama berdiri dalam arena yang aku tidak canggung untuk senyum dan gembira
jauh daripada perbalahan dan sengketa manusia
salah faham dan fitnah...
sekulum senyuman ini untuk kehampaan pada teman-teman yang berlidah dua
namun tangisan bisu ini adalah alu-aluan
pada keadilan dan kebesaran Ilahi
pada apa yang mampu kulakukan
di sebalik coretan...
ahlan wa sahlan...