Temanku langit yang bisu

Hujan turun selebat-lebatnya. Siapa menyangka hati yang menangis ini bagai turut sama diraih dengan deras hujan yang menyirami bumi. Tenang. Bagai tidak akan berhenti selamanya. 

"Ilmu itu nadi yang akan sentiasa segar dalam setiap desahan nafas."

Aku termenung. Dalam keriuhan itu air mataku mengalir. 

"Ilmu bukan fakta-fakta yang dihafal untuk lulus peperiksaan semata-mata seperti tiket yang dibeli untuk masuk panggung wayang."

Hujan masih deras melimpah. 

"Ilmu itu adalah darjat seorang manusia kerana pengetahuannya yang digunapakai dan membantu masyarakat untuk berfikir ke arah kebenaran dan keperluan yang betul."

"Mempunyai ilmu bermakna mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada masyarakat. Dan menjadi sebahagian daripada faedah kepada masyarakat."

Aku masih termenung memerhatikan gelap awan yang kelihatan garang dan suram. Ligat memikirkan sesuatu yang sentiasa berada dalam permainan mindaku. Aku menelan air liur kehampaan. Dengan pening kepala yang sentiasa ditahan, aku mencapai sebatang pen yang terletak kemas di atas kiri meja. Sebatang pen biru... buku A4 dan tingkap yang terbuka luas... Sebatang pen dengan mata yang masih terpana pada kebesaran Ilahi. Pada tingkap yang menjadi saksi segala tulisan dan dudukku. Ya. Aku perlu melakukannya. Kesakitan yang terasa di kepala... tak sepatutnya kujadikan alasan untuk mengalah. Aku pernah melakukannya sebelum ini. Bahkan ia adalah diriku. Sebahagian daripada sesuatu yang mengisi perjalanan hidupku selama ini. Mengapa aku perlu mengalah... pada saat-saat aku sudah mampu untuk menghasilkan bait-bait ayat yang lebih baik berbanding masa kecilku.