Love Destined for Me

     Seperti yang dia sendiri pernah ucapkan...tiada siapa yang akan menyangka plot kehidupan yang Allah takdirkan dalam hidup kami seperti ini. Terlalu jauh tersasar daripada impian yang selama ini kami angankan. Terlalu banyak tangisan. Terlalu banyak perkara yang perlu dibiasakan dan difahamkan. Terlalu banyak persoalan yang menagih terlalu banyak penjelasan dan kesabaran. Terlalu banyak pengorbanan yang membuat dua hati terluka dan cuba redha. Jika digariskan satu persatu, ia sesuatu yang nampak mudah dan bahagia di mata yang melihat namun terlalu sukar untuk dihadam dengan akal yang tunduk kepada perasaan. Kerana ia melibatkan bukan hanya dua hati yang sepatutnya memerlukan banyak dorongan dan kekuatan...namun turut dibebani dengan dahsyatnya keperitan sebuah perasaan daripada beberapa keping hati yang lain. Ia terlalu sukar...terlalu perit. Terlalu pahit untuk semua yang terlibat. Ketenangan yang kelihatan pada jasad yang cuba menyembunyikan jauh-jauh apa yang dirasakan...sebenarnya diterpa ombak yang kuat. Bergelora. Hanya Allah tempat melabuhkan doa agar ketenangan itu kembali dan disirami rahmatNya seperti sediakala.



Beberapa hari lagi... tarikh yang terlalu penting buatku akan tiba. 17hb Januari 2014... hari nikah kami. Apa yang sedang aku fikirkan saat ini? Kosong namun pedih. Entah bagaimana jalan yang terhampar di hadapan. Aku hanya melangkah dan terus melangkah... menanti setiap takdir yang Allah coretkan buatku. 

~15hb April 2014 2.29pm EZ Kembara
Aku tak tahu apa yang perlu kulakukan...nak delete atau edit...segalanya manis dan terasa segar dalam ingatan. Tak sampai sebulan... 14hb Februari tarikh yang memisahkan..dan semalam 14hb April genap dua bulan. Air mataku masih tak mahu berhenti mengalir...ya Allah.



~8hb Februari 2016 3.06pm
Hari ni...baru ada kekuatan untuk buka blog ni semula. Beberapa hari lagi 14hb Feb, genap 2 tahun memori di atas berlalu. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan buatku mengharungi segala kenangan manis tersebut. Betapa indahnya saat tersebut namun akhirnya ia bukan kenangan yang boleh disimpan untuk tatapan kami berdua di hari tua. Hanyalah kenangan buatku untuk selalu mengingatkan diri kebahagiaan yang sebenar hanyalah bila kita dicintai Ilahi. Ia menjadi kekuatan... panduan buatku... tiada cinta yang lebih sejati selain cintaNya. Jadi aku boleh berhenti mengimpikan kehidupan seindah dalam fantasi yang aku semai dari kecil sehingga dewasa kini..sedar tak sedar aku sudah menginjak tahun yang ke 30 genap Oktober nanti. Ayat yang pernah kulontarkan dua tahun yang lepas...in shaa Allah Allah akan memberi seseorang yang lebih baik buatku sebagai ganti...kini...aku tak pasti...apakah aku layak untuk itu ya Allah...Engkau menghadirkan seorang lagi yang turut membuatku menangis sendirian. Entah apa pula hikmah kali ini...namun aku pasti ia satu lagi pendidikan buatku dari sisiMu ya Allah. 


~7hb Mei 2023 3.53pm
Tak lama lagi genap usia 37 tahun menjelang Oktober ni. Hidup? Masih berpusing-pusing di sekitar tempat yang sama. Namun Alhamdulillah lebih tenang. 

No comments:

Post a Comment