Tuesday 12 June 2012

aku yang aku...


Maafkan aku
Menjadi begitu ganjil di kalangan kamu
Hati yang sempit terlalu degil
Liat untuk akur pada arus yang terbentang harus
Celik mengamati namun koma mengadaptasi

Maafkan aku
Menjadi begitu puitis dan terlalu halus
Begitu peka merasai walau sedikit pun sumbangnya melodi
Pada nada-nada yang tampak biasa bagi umum

Maafkan aku
Menjadi sesuatu yang berbeza
Jauh daripada zaman dan peradaban semasa yang tercipta
Aku hanya seorang insan yang telah lama hilang
Jauh dalam keterbatasan yang menjadi penghalang
Pada setiap jeriji yang memagari
Teguh menggalas kata-kata
Pesanan kampung yang tidak lagi relevan dengan masa

Maafkan aku
terlalu berbasa-basi mengakui
aku anak kampung yang diajar dengan seribu satu pantang larang
dari sehalus bahasa sehinggalah sebesar tingkah laku
kerana ia cermin
yang aku bawa daripada ibu dan ayah
dengan amanah segunung di bahu
agar aku terus menjaga
dan aku terus menjaga
sehingga aku menjadi begitu berbeza
menjadi begitu rumit di mata biasa

andai ada kesempatan dan masa
aku masih memilih aku yang sama
walau berapa kali pun aku tetap berbeza…
aku masih memilih aku yang sama
aku masih memilih untuk menjadi aku yang lama
maafkan…

No comments:

Post a Comment