Monday 5 August 2019

Sihat itu mahal...

Aku mempunyai impian... Namun aku tahu takkan pernah kukecapi melainkan dengan keajaiban (rahmat) daripada Allah. Lalu aku isi hatiku dengan impian mereka yang banyak berkorban untuk diriku. Terutamanya ibuku. Rumah yang sering dihempas badai gelombang itu, adalah rumah yang kukasihi... Rumah yang menyimpan semua kenanganku bersama ayah dan ibu serta adik beradik. Rumah itu, memang banyak yang pahit, namun yang manis menutupi segala kepahitannya. Mungkin kerana ada ibu. Susuk yang Allah hadiahkan kepadaku dan adik beradik. Namun aku juga ingin ibu keluar daripada kelelahan rumah tersebut. Tiada air, elektrik dan kawasan perumahan yang penuh dengan jenayah. Pernah terdetik di hatiku, ya Allah begitu ramai hambaMu yang turut berada di perumahan ini. Dan aku tahu Engkau mengasihi mereka. In shaa Allah satu masa nanti pertolonganMu akan tiba. Ramai lagi insan yang kepayahan di luar sana.

Peluang sekali setahun ini, di musim Qurban adalah musim di mana aku cuba mengumpul sebanyak mana yang mampu untuk cuba mencapai impian salah seorang daripada mereka. Impian ibuku. Bekerja tanpa kenal masa dan lelah. Kesakitan yang sikit ditahan agar sentiasa terus bersama-sama dalam gelombang puncak qurban. Namun akhirnya aku rebah. Jumaat malam aku menggigil kesejukan. Tahap sejuk yang tak mampu kutahan walau berlapis kain sejadah digunakan. Dalam 9.30 malam aku terpaksa mengakhiri kerja malamku pada hari tersebut. Di saat semua insan sibuk berjuang, aku terkulai layu di pembaringan menahan kesejukan dan suhu panas yang enggan turun. Sakit seluruh badan dan kepala membuatkan semalaman tak mampu melelapkan mata. Tepat pukul 2 pagi, aku hantarkan mesej kepada Dokter yang pernah menjalankan operasi pembedahan terhadap rahimku. Untuk endometrial polyps. Risau kerana mungkin berkaitan dengan penyakit sedia ada kerana aku sering tak dapat hadir untuk rawatan susulan. Bagaimana tidak. Bayaran untuk Dokter pakar... Mengapa kupilih Dokter pakar. Mungkin kerana sudah lama bertahan... Bermula seawal 2010 lagi. Sehinggalah dua tahun bersama Hospital Selayang. Ubat yang dibekalkan hanya menambah berat badan. Tidak menghilangkan apa-apa. Feb 2019, aku nekad ingin keluar daripada kesakitan. Dan alhamdulillah buat pertama kali aku dapat menangis lega buat sementara... Walau aku tahu penyakitku takkan punya penawar kerana bergantung dengan hormon. Bergantung dengan emosi. Bagaimana inginku pastikan emosiku sentiasa stabil dan gembira. Sedangkan hidup penuh ranjau dan onak duri.

Lupakan tentang pembedahan tadi. Mesejku berbalas pada pukul 8 lebih pagi. Appointment 11.00 pagi pada hari Sabtu. Aku terlewat sejam. Sebab tak perasan menahan kesakitan. Pukul 11.00 pagi baru terbuka mesej yang dihantar. Mujur klinik dalam 15 min dah boleh sampai. Kakak yang hantarkan. Dan sepatutnya adik yang akan ambil balik. Kakak terlibat dalam musim qurban. Majikan yang sama denganku. Hanya mampu curi-curi keluar. Kesian kakak mempunyai adik seperti diriku. Mudah sakit dan merosakkan prestasinya di syarikat. Hanya ada 3 orang sahaja sebelumku. Namun giliranku sampai pada pukul 2 lebih. Sempat kutunaikan solat zuhur dalam kepayahan di surau klinik. Sebaik sahaja berjumpa Dr, suhu badanku serta merta menyebabkan Dr memasukkan branula. Pelbagai ubat dimasukkan melalui branula termasuklah antibiotik dan ubat sakit belakang. Dan akhir sekali, aku dibawa masuk ke ruang rehat untuk memasukkan 2 botol drip air dan 1 botol drip vitamin. Dr masukkan juga ubat tidur agar aku dapat lelapkan mata. Alhamdulillah dapatlah aku merehatkan diri walau sebentar tanpa kesakitan. Aku terjaga ketika jururawat mengejutkanku drip dah selesai. Jam dah pukul 8.00 malam. Maksudnya aku terlepas solat asar. Bangun sahaja tiba-tiba suami Dr menyapaku dan memintaku mengambil air whuduk. Boleh solat bersama dengan Dr katanya. Muat 3 orang. Suami Dr menjadi imam. Usia mereka mungkin dah cecah 60 lebih. Selesai solat, aku dipanggil masuk semula ke bilik Dr. Di sana, Dr berikan lagi 2 jenis ubat dan minum serta merta. Kemudian, sambung habiskan sebotol air putih di ruang dalam tempat duduk klinik. Sambil menghabiskan air putih, aku menahan loya yang aku tahu bila-bila masa akan keluar. Cepat-cepat aku minta plastik untuk muntah. Jika pada keadaan sihat, sebotol air putih begitu mudah untuk kuhabiskan. Namun dalam keadaan sakit, ia memang sesuatu yang terlalu payah. Tak lama kemudian kakak datang. Bil dalam RM1020. Kepada Allah aku serahkan segalanya. Ibu, andainya RM1020 dan puluhan ribu yang lain itu kuberikan padamu... Namun kini ia membayar rawatan kesakitanku. Maafkanlah aku ibu... RM1020 itu adalah di antara duit upah yang aku dapat kerana kerja sampingan yang majikanku berikan. Sebahagiannya telah kusalurkan untuk melaksanakan qurban diriku, ibu dan ayahku, saudaraku dan akikah anak saudaraku yang kedua. Ada seorang lagi yang belum kuakikahkan. In shaa Allah ada rezeki tahun depan pula. Dalam perkiraanku, duit itu ingin kukumpulkan untuk agihan beberapa perkara. Untuk rumah ibu, majlis khatam alquran kakak ipar dan yang lain-lain, untuk membantu adik keluarkan van sebagai sumber rezeki, untuk akikahkan kedua-dua anak saudaraku, untuk qurban kami sekeluarga dan kakak ipar, untuk sedekah kepada kakakku yang merupakan seorang ibu tunggal, untuk duit raya kepada rakan sekerjaku dan...

Dan sabtu berlalu dengan kelegaan sementara. Malamnya aku menahan suhu panas yang sama lagi. Dan kesakitan badan serta kepala yang sama lagi. Kakak keletihan. Ibu dah susun adik lelaki datang untuk membantu dan menjaga keperluanku. Ibuku yang berada di kejauhan membuat panggilan telefon kepada adik untuk menjagaku. Dan adik datang bersama kakak ipar dan anak-anak saudaraku. Penghibur hatiku di kala kesakitan. Ketika aku sihat, akulah yang sering memeluk cium mereka dan membelikan mereka apa-apa. Dan ketika aku sakit, merekalah yang memimpin tanganku untuk makan ke meja makan. Dan merekalah yang memberikan sinar kerisuan di mata mereka terhadap diriku di usia yang sepatutnya belum kenal tentang sakit dan sebagainya. Kehadiran mereka mengangkat sedikit kesakitan daripada diriku. Dan hari berlalu sehingga petang dengan jagaan mereka. Namun suhu panas tak juga kunjung hilang.

Sehinggalah selepas maghrib, kakak sepupu terdetik menyediakan sup ketam untukku. Adik dan kakak ipar balik semula ke rumah sebaik sahaja kakak sepupu dah balik daripada tempat kerja. Malam tersebut kuhabiskan seboleh yang mampu kuah sup ketam. Untuk makan, aku masih tak berselera. Namun alhamdulillah aku terjaga dengan peluh yang merintik di leher dan dahiku pada tengah malam. Dan kesakitan yang kurasa hilang sedikit demi sedikit. Hanya denyutan di kepala yang tak hilang sehingga sekarang. Ketika aku menaip tulisan ini.

Suhu demam yang kurasa sekarang sudah mampu ditahan. Namun cirit-birit berlarutan dan sakit perut menghalangku untuk masuk bekerja.

Aku tahu... Dari jauh aku memiliki doa yang takkan pernah surut untuk diriku. Ibuku, terima kasih untuk doamu...

Dan kini kutahu hikmah adikku sakit belakang ketika mengangkat barang berat... pekerjaannya sebelum ini membawa van dan menghantar barang perkakas motor yang berat. Dialah yang ke sana ke mari membantuku membelikan semua peralatan termasuklah pad wanita.

No comments:

Post a Comment