Aku di meja biasaku.
Setiap hari melalui hari-hari yang sama dan jalan yang sama. Tiada apa yang
berubah sebenarnya. Apa yang berbeza adalah persekitaran. Cara pemakaian. Cara
bertutur. Namun aku masih aku. Seorang yang sentiasa hanyut dengan dunia
sendiri yang kadang-kadang terasa sepi sangat. Temanku hanyalah berbicara
dengan alam dan penciptaNya. Melalui hari-hariNya dengan ketabahan untuk setiap
tangisan yang datang. Ujian. Memang sakit dan kadang-kadang keliru untuk
memikirkan hakikat kewujudan ke dunia. Terasa kadang tidak bermakna dan tak
berharga. Dengan segala perkara dan keterlanjuran yang merosakkan apa yang
dijaga selama ni.
Siapa aku. Kadang
persoalan tersebut terlalu membebankan jiwa. Hakikat kelahiranku dan
sumbanganku. Aku dilahirkan dengan kalimah yang dibisikkan di telinga saat
pertama kali aku menghirup udara dunia. Dengan janji yang mulai dilupakan
sedari alam perut ibu bersama Yang Esa. Aku tak pernah tahu aku pernah berjanji
sebesar itu sehingga aku mengenal erti kelahiranku yang hakiki.
Aku dilahirkan dengan
sebuah nama yang diberikan oleh insan yang kukenal sebagai orang tuaku. Mak dan
ayah. Sejak saat itu, aku adalah si fulan yang berbintikan si fulan. Doa
tersebut berterusan sehingga salah satu cirinya melekat dalam diriku.
Kelembutan. Kelembutan yang kini kulihat seakan makin sirna dek pengruh dan
penjagaan yang berkurangan daripada diriku sendiri.
Justeru, dengan nama itu,
aku menginjak alam kanak-kanak yang sukar dimengertikan. Tanpa ada perasaan
untuk mempunyai teman sendiri yang bernama manusia. Bagiku, teman yang terbaik
dan takkan pernah menyakitiku adalah sebuah buku dan sebatang pen yang akan
sentiasa silih berganti. Mereka temanku sehingga saat mereka perlu meninggalkanku
dengan terpaksa. Sama seperti manusia makhluk Allah. Satu saat akan pergi jua.
Namun pemergian sahabat sejatiku lebih cepat berbanding manusia. Saban hari
kutangisi lebih-lebih lagi dalam kedaifanku untuk mencari pengganti mereka
secepat mungkin. Dua, tiga dan ada yang mencapai seminggu… dan kemudian mereka
pergi. Dunia yang sentiasa membuatku suram dan sepi. Namun aku bahagia ketika
mereka setia menemaniku.
Begitulah saban hari.
Dunia yang kulalui tanpa sedetik pun kusedari janji yang lebih besar rupanya
menantiku di usia yang kian meningkat. Aku layu pada meja dan tingkap rumahku
yang setia memberikan sepoi angin laut yang nyaman. Warna hijau, biru, putih
dan coklat itu adalah teman baik yang mendodoi ketika aku kesedihan dan
memberikanku ilham ketika kebuntuan. Tempatku berbicara hanyalah pada awan,
pada angin yang berdesis lalu menyapa tubuhku, pada air yang kadang kutakuti
keluasan dan kedalamannya dan pada pencipta segalanya.
Hidup yang kukenali sejak
awal kufahami dunia ini adalah hidup yang penuh dengan serba kesuraman yang tak
mampu kugambarkan dengan perkataan. Kuharungi dengan kekuatan yang mahu atau
tidak terpaksa kuterima dan kuhadam. Teringat ayat seorang hamba Allah…dunia
yang kejam ni takkan pernah memberikan pilihan buat kita. Perlu jua dilalui dan
berusaha untuk diperbaiki.
Kegelapan itu mengajarku
erti rendah diri. Rendah diri pada dunia yang makin berbeza setiap kali
kujejaki titian usia. Tiada bekalan. Tiada kemahiran. Tiada sesuatu pun yang
kurasa mampu kubanggakan untuk mambuatku tampil sebagai seorang yang bermaruah.
Perjalanan hidup tersebut menjadikanku seorang pemerhati kepada keadaan yang
kuamati melalui kematanganku sendiri. Kematangan pada usia yang tak sepatutnya.
Dan kutangisi pada tahap yang tak mampu dicerna oleh insan lain.
Dan segala-galanya
bermula pada satu masa. Satu saat aku mendengar kalimah yang buat pertama kali
kudengar awal kelahiranku. Aku terduduk pada anak tangga surau yang
memberikanku hidup baru. Surau yang pertama kali kujejak dengan satu pencarian
yang didorong oleh satu ilham yang selama ini memimpin perjalananku. Di situ,
aku menangis… menggenggam sekeping kertas yang aku sendiri tak pasti apa isi
kandungannya. Lupa. Ia kenangan yang dah berlalu namun terlalu berharga untuk
kulupakan.
…Selangkah engkau
mendekatinya, seribu langkah Dia mendekatimu…
Setitik. Dua titik. Dan
akhirnya teresak-esak menahan suara tangisan agar tidak memecah laungan azan.
Kesyahduan yang hanya insan yang mengenal erti hidayah akan merasakan yang sama
dan tahu walaupun tanpa diluah. Kehangatan kasih sayang yang membuat si
pencinta mabuk dalam cintanya.
Itu saat pertama kali aku merasakan sesuatu yang luar
biasa. Dan luar biasa tersebut kemudiannya sentiasa mengisi hari-hari
seterusnya. Sehinggalah kejahilanku kadang-kadang membuatnya timbul tenggelam.
Timbul tenggelam! Timbul tenggelam! Sengaja kuulang berkali-kali. Dan kalau
boleh, beratus juta kali pun agar aku sedar betapa hinanya diriku sebagai
seorang hamba. Kemarahan yang hanya Dia jua penenang.
Manis. Pahit. Akhirnya kulalui sebagai orang baru dalam beragama.
Namun, pahit masih lagi mengawal kemanisan yang kuterima. Tidak bersyukurkah
aku… kerana pernah terbaca pada lembaran hidayah yang aku sendiri tak pasti di
mana kutemui…
…kebahagiaan hanya bagi mereka yang tak pernah kisah
dengan kesalahan orang lain…
Dunia terasa sempit
dengan kehadiran manusia yang tak pernah sudah-sudah menyakiti. Namun, untaian
ayat di atas membuat aku sedar bahawa aku takkan pernah rugi jika membiarkan
mereka menyakitiku. Keindahan yang aku pelajari…
…alangkah indahnya orang yang beriman. Kejahatan dibalas
dengan kebaikan…
Dengan berbekalkan apa
yang kuterima sebagai ilmu pemberianNya… saat demi saat yang bertambah sedikit
demi sedikit… aku mengubah penampilanku. Kerana aku mulai malu dan segan pada
jalanku. Pada apa yang ada pada diriku. Aku mulai membalutinya agar tersembunyi
walau di mana pun jalan dan tempat yang perlu kulewati. Agar aku mampu
melangkah walau terpaksa tunduk memandang bumi. Langit yang kebiruan hanya
menjadi santapan mata tatkala statik dan tatkala terasa ada kekuatan untuk
melangut.
Aku berubah menjadi seorang yang dingin dan bisu pada
kejadian yang berlaku di sekeliling. Hanya pandangan mata yang berbicara bila
bertemu dengan suasana yang menyentuh sanubari. Bibir terkunci rapat. Lebih
rapat daripada sebelumnya. Dan hanya terkadang seulas senyuman kulemparkan buat
seorang dua sahabat yang kukenali sebagai naqibah dan yang memnadangku dengan
pandangan yang mesra.
Sikap yang sukar untuk dicernakan. Aku malu berada di
kalangan mereka. Siapa mereka… persoalan ini dulu kusambut dengan senyum pahit
kerana tiada siapa yang mampu merasa betapa berdebar dan tak stabilnya bila
menerima sesuatu yang memang tak mampu lagi untuk diterima. Persediaan yang
masih belum cukup. Aku malu kerana tak mampu menahan rasa malu di hadapan
mereka. Aku malu kerana tidak mempunyai kekuatan untuk bersuara seperti mereka.
Dan lama-kelamaan, aku terasing. Jauh daripada sahabat yang sering menggenggam
erat jemariku. Aku semakin tunduk. Kalah dengan fitrah diri yang kadangkala ada
percanggahan dengan mereka.
Hari demi hari terus berlalu. Kubiarkan segalanya
menghilang dengan kesibukan harian yang menuntut terlalu banyak komitmen. Teman
silih berganti datang dan pergi. Ujian yang berterusan. Kadang jatuh dan kadang
bangun semula. Pahit manis hidup yang terlalu mual untuk kucanangkan satu
persatu. Cukuplah kehidupan yang berlalu itu mengajarku sesuatu. Kematangan.
Kesabaran. Ketabahan. Kekuatan. Dan perkara yang perlu aku hargai saban waktu.
Dan aku membesar… bukan sahaja dari segi batin… namun jua zahir. Aku kini
seorang perempuan dewasa yang akan meniti status wanita. Bukan lagi remaja.
Telah lama usia tersebut menghilang.
Aku lupa aku seorang wanita biasa sehinggalah aku merasai
sesuatu yang belum pernah aku rasakan sebelum ni. Aku mulai mencari satu nama.
Satu nama yang sentiasa mengganggu tidur malamku. Satu nama yang sentiasa
membuat aku terkilan dengan dunia yang baru kusedari apa isi dan putarannya.
Satu nama yang membuat aku tertunduk sayu lagi. Satu nama yang menjadi dambaan
semua wanita. Hatta diriku sendiri. Satu nama yang selama ini cuba kunafikan
terjadi pada diri sendiri.
Aku ingin mulakan segalanya pada saat mata ini terpana
pada satu nama yang terpampang pada skrin sebuah capaian yang dicipta oleh
Yahudi. Berkali-kali aku fokuskan pandangan pada perkara lain, namun setiap
kali itu jua aku sering terdampar pada halaman pemilik profil sebuah nama
tersebut. Ada sesuatu yang membuatku tertarik untuk terus meneroka si gerangan.
Tak tahu apa yang kucari namun aku terus meneroka. Sehinggalah dada skrin
kututup dan kuakhiri dengan butang ‘Shut Down’. Aku termenung di hadapan pc
yang gelap. Kelam. Dan pandangan yang terhunjam adalah padangan keletihan.
Bukan letih zahir. Letih perasaan.
Itulah pertama kali aku merasa satu perasaan yang lain
daripada kebiasaan. Hukuman buat pandangan mata yang kuhunjamkan ke atas yang
bukan mahram tanpa sengaja. Namun dosa tersebut membawaku semakin jauh daripada
falsafah hidup. Aku gagal sebagai mujahidah. Aku gagal sebagai da'ie. Aku
mengecewakan janji besarku. Itulah saat keruntuhan diri dan peganganku. Saat
tidak bernilainya insan yang bernama fulan binti si fulan. Saat di mana air
mata ini takkan mampu menghilangkan rasa jijik terhadap perasaan dan fikiran
yang dinodai. Harga diri yang selama ini dipertahankan hilang dan kucampak
begitu sahaja.
Inilah yang berlaku dan terpaksa kubiarkan terakam dalam
memori hidupku. Ia telah menjadi sebahagian daripada aku walau betapa benci dan
kesal menyesakkan dada. Walau betapa dalam lautan air mata yang perlu mengalir
untuknya. Dan walau betapa sakit tika memikirkannya. Ia telah menjadi
sebahagian daripada kenangan yang mencalar diriku. Sujud dan terjatuh di
hadapan yang menciptakanku. Pada saat aku mulai mengenaliNYA…mengenali janjiku
kepadaNYA…mengenali kasih sayang dan kemurahanNYA…mengenali hidayahNYA…
Air mata ini takkan pernah berhenti. Air mata penyesalan
ini takkan pernah berhenti. Duhai yang akan hidup beribu tahun lagi…yang
memberikan solat yang terbaik kepadaNYA…yang mengaku mencintaiNYA…air mata ini
takkan pernah berhenti. Kerana dulu aku juga seperti kamu. Tumpas dengan
kehinaan yang tak mampu ditebus walau dengan apa pun. Peliharalah dirimu.
Peliharalah walau terpaksa menelan didihan air besi atau sulahan tombak yang
tajam. Peliharalah. Tiada yang lebih sakit daripada penyesalan akibat kezaliman
yang dilakukan setelah mengenaliNYA. Setelah mengenaliNYa. Setelah
mengenaliNYA. Setelah mengenaliNYA. Tak pernah kurasakan kesakitan yang maha
hebat selain daripada penyesalan ini. Maka, peliharalah. Jangan biarkan kamu
merasakan penyesalan yang sama.
Dan DIA masih menyayangiku… DIA masih menyayangiku.
Setelah apa yang kugadaikan untuk membelakangiNYA, DIA masih menyayangiku.
Duhai…mampukah dibayangkan perasaan malu ini. Bukan malu terhadap makhluk yang
sama sepertiku. Bukan malu kepada seorang abid yang beribadat puluhan tahun
dengan merendah diri kepadaNYA. Aku malu pada Rabbku…aku malu pada Rabbku…aku
malu pada Rabbku.
Dan segala-galanya mendatangi mindaku. Bagaimana aku
mencintai seorang makhluk lebih daripada kecintaanku kepada Rasul dan Rabbku…
Bermula dengan perasaan simpati. Aku mudah mengasihani.
Aku mudah menyayangi. Bukan menyayangi dalam erti kata sesama yang bukan
mahram. Aku mudah mengasihani makhluk Rabbku yang berada dalam kesedihan. Aku
mudah tersentuh dengan perasaan makhluk Allah yang dirundung kesedihan. Mungkin
natijah daripada kesedihan yang kurasakan selama ini menerbitkan perasaan
perjuangan untuk memberikan hidup yang terbaik kepada makhluk yang lain juga.
Aku ingin mereka sama-sama merasakan kebahagiaan yang kurasakan berkat
bersangka baik padaNYA dan meletakkan sepenuh pengharapan kepadaNYA. Dan pada
masa yang sama memberi kekuatan kepadaku untuk lebih terdorong menjadi
perantara Ilahi untuk terus menyebarkan senyuman redha dan tawakkal kepadaNYA.
Kukirimkan pesanan ringkas melalui inbox sistem Yahudi
tersebut. Pada satu nama yang sentiasa menarik pandanganku. Pada satu nama yang
turut membuatku sedih dengan kesedihannya. Dengan kesedihan yang tak terbendung
sehingga dia membiarkannya terpapar untuk pandangan umum. Kerana aku pernah
merasakan tangisan yang sama dalam keadaan yang baik. Alhamdulillah dalam
keadaan yang baik dan terjaga. Namun masih merasakan kesedihan yang sama
seperti yang dirasakannya. Dan semuanya bermula di situ.
Sedikit demi sedikit, perasaan tersebut bercambah tanpa
sedar. Setiap kali aku cuba lari. Tanpa pengetahuannya. Kerana aku sedar aku
takkan pernah mampu untuk menjadi seorang sahabiyah buat seorang yang bukan
mahram. Dan aku mula melihat sifat yang tak mampu kuterima dan kucerna dengan
akal dan pendirianku. Bertambah-tambah keinginan untuk memutuskan silaturrahim
yang padanya tiada celanya. Dia adalah dia. Aku adalah aku yang kekal dengan
pemikiran konservativku jika perlu ditakrifkan sedemikian. Aku menolak
persahabatan antara lelaki dan wanita walaupun tanpa sedar aku melakukannya
dengannya. Namun sejujurnya, aku tidak pernah menjalinkan persahabatan.
Persahabatan hanya sesama muslimah. Yang kuikat bersama yang bukan mahram
mahupun mahram adalah persaudaraan. Akhi dan ukhti tanpa sebarang perasaan yang
lebih. Namun dengannya, aku tahu aku menyimpan perasaan yang lebih daripada
sekadar seorang akhi. Justeru, aku sebenarnya tidak pernah menjalinkan
persahabatan dengannya. Bukan sahabiyah.
Perasaan tersebut membawaku jauh dan dekat dengannya.
Pergi dan kemudian datang semula. Pegangan dan kesedaran kepada agama membawaku
jauh dan kasih sayang kepadanya membawaku kembali kepadanya. Duhai yang mengaku
mencintai Rasul dan Rabbnya…kasih sayang ini tidak pernah memberikan ketenangan
dan kebahagiaan yang kononnya ingin dicari. Yang kuperolehi hanyalah tangisan.
Yang kuperolehi hanyalah hukuman kerana menderhakai persahabatan sejatiku
dengan hidayah yang telah dikurniakan Rabbku. DIA telah memberikanku teman baik
yang cukup sebagai penghapus air mata. Teman yang mamapu kupercayai walau dalam
tangisan dan kegembiraan. Yang takkan mengkhianatiku. Yang benar-benar
menyayangiku. TAQWA. Aku meninggalkannya untuk kasih sayang yang
menghancurkanku. Untuk satu kegembiraan sementara yang tak mampu memberikanku
kebahagiaan seindah TAQWA.
Apa yang tinggal hanyalah sepasang mata yang letih dan
kering. Hati yang takkan berhenti merasa pedih. Dada yang tak berhenti merasa
sesak. Minda yang tak berhenti dihantui penyesalan. Dan diri yang terasa kotor.
Janji hanyalah sebuah janji. Bak tulisan yang dicoretkan
pada tepian pantai. Sekali ombak memukul, hilang bersama butiran pasir. Janji
seorang makhluk yang tidak berdaya. Duhai makhluk Allah yang mengaku mencintai
Rasul dan RabbNYA, untuk sesuatu yang tak mampu memberikanmu mudarat bahkan
manfaat inikah yang kau cari sehingga menggadaikan Rahmat Allah yang pasti dan
hukuman yang pasti. Neraka itu adalah hak. Neraka itu adalah hak. Neraka itu
adalah hak. Mampukah untuk dilalui barang satu malam pun di dalamnya. Bahkan
satu saat pun takkan mampu dilalui.
Kini aku teguh berdiri sendiri. Hanya berteman kekuatan
daripadaNYA. Keyakinan akan kebaikan daripada kasih sayangNYA buat hambaNYA
yang kembali kepadaNYA. Aku mampu tersenyum dalam kepahitan. Mensyukuri segala
yang masih ada. Diriku. Sebagai seorang hamba dan mujahidah. Kerana mujahidah
itu adalah mereka yang melawan kehendak nafsu menguasainya demi Rasul dan
Rabbnya.
Kebahagiaanku hanyalah pada jagaku di akhir malam. Dengan
secebis kekuatan yang masih dinodai kejahilan, kunikmati kelazatan tahajjud dan
ayat-ayatNYA yang tercatat pada helaian demi helaian. Pada tapak tangan yang
menerima setiap hak mereka daripada apa yang dijadikan aku sebagai
perantaraNYA. Pada senyuman yang dijadikan aku sebagai penghibur olehNYA. Dan
pada setiap perkara remeh yang kurasakan redhaNYA bersamanya.
Aku semakin cepat melangkah. Momentumnya kian hari kian
sama seperti sebelum ini. Saat kegemilanganku dulu. Ya aku pernah terjatuh.
Sakit. Dan aku mengeluh sebentar. Dan kemudian aku tersenyum mensyukurinya
kerana jatuh itu menyelamatkanku agar tidak terus jatuh pada tempat yang lebih
tinggi. Dengan kejahilan dan keterbatasan ini, tidak mustahil aku akan sentiasa
jatuh. Namun, biarlah jatuh ini seringkali menambahkan keimanan dan
keredhaanNYA kepadaku. Itu lebih kusyukuri daripada terus berjalan pada tanah
yang datar tanpa mendapat satu apa pun yang bermanfaat buat diriku.
Perjuanganku makin tampak jelas. Lebih terang daripada
terangnya bulan. Lebih kemilau daripada kemilaunya sang mentari. Aku ingin
menjadi seorang hafizah jika Rabbku mengizinkan. Dan menjadi seorang yang fasih
berbahasa dalam bahasa Rasul dan al-Quranku. Itulah impian terbesar dan terlalu
sukar untuk kucapai. Namun takkan pernah menjadi mustahil selagi aku mahu
mencapainya dan selagi redha Rabbku bersama-samanya. Langkah kecil yang bakal
kulakukan mudah-mudahan memberikan yang terbaik buat diriku. Aku ingin mencapai
impian yang selama ini tertanam dalam diriku. Sedari kecil. Kebahagiaan yang
takkan pernah mati seperti dalam cerita dongeng. Aku ingin melakar sendiri
cerita dongeng buat diriku. Dan sekali lagi, mudah-mudahan Allah meredhai.
Air mata bagai ingin jatuh daripada kelopak mata.
Senyuman kebahagiaan. Aku ingin menghadiahkan korban buat Rabbku. Sesungguhnya
DIA tidak berhajat kepada makhlukNYA. Aku ingin membuat pinjaman yang terbaik seperti
yang pernah dirakamkan oleh Rabbku dalam ayat-ayatNYA. Mudah-mudahan dengannya,
Allah memberikanku teman yang terbaik untuk menemaniku dalam perjuangan ini.
Dan mudah-mudahan dengannya, Rabbku memberikanku keluarga yang sholeh dan
sakinah. Ketaqwaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amiin…
No comments:
Post a Comment