Saudaraku...
mereka boleh
tersenyum
boleh tertawa
boleh berkata
apa sahaja
boleh menyakiti
boleh menghiris
seketul daging merah di dada...
Kerana mereka
tidak mengerti apa yang kita rasa
mereka tidak
tahu tangisan yang kita pendam jauh di sanubari
Bisu dan
suam
nampak kosong
sebenarnya memeritkan.
Mereka tidak
mengerti bagaimana kita dibesarkan
dengan kasih
sayang yang takkan mampu mereka selami
walaupun ianya
datang daripada sebuah rumah kecil yang usang
yang penghuninya
tampak biasa.
Di sana kita
tersenyum
menghormati
walaupun dengan
segala kepayahan yang melanda.
Di sana kita
masih mampu bergurau senda
berkongsi segala
kekurangan
berkongsi segala
ketakutan
namun masih
lagi cukup membahagiakan...
Saudaraku
Kepayahan
membesar kita terasa manis dalam kepahitan...
Rumah yang
sentiasa basah disirami air hujan
dapur yang
sentiasa kelam tak berasap
tiang yang
semakin tua dan kian reput
namun masih
gagah menongkat rangka dan penghuninya...
Mungkin kerana
ia mengasihani
air mata
bisu bonda kita
debar dadanya
yang sentiasa kumat-kamit memohon kuasa-Nya
sepanjang titi
usianya
sepanjang jaga
mata kita
untuk kita
anak-anaknya
Saudaraku,
Ia panorama
biasa bila malam menjelma kan
kegelisahan bonda
dan ayah
kenangan
pahit yang terlalu manis untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja
saudaraku...
mereka boleh
tersenyum dalam apa jua makna
kerana
mereka tidak pernah tahu
kebisuan ini
terlalu banyak menyimpan luka
kemelaratan
yang mereka canang
pada kuman
di seberang lautan
tidak pernah
kelihatan di hadapan mata
saudaraku...
mereka tidak
akan pernah mengerti
kerana
mereka tidak pernah merasa
kebisuan ini
bukan direka
bukan
disengaja
ia bagai
parut sang luka
yang takkan
sembuh sampai bila-bila
sama seperti
ranting yang dicantas daripada induknya
pasti
kehausan dan kelayuan
saudaraku...
mereka boleh
berbicara
dalam apa
jua rentak dan nada...
mereka tidak
melihat air mata si kecil
tidak
melihat air mata bonda dan ayah
tidak
melihat kesakitan yang kita rasa
saudaraku...
mereka
takkan pernah mengerti...
justeru
kerana itu Allah menghadiahkan kita sesuatu yang terlalu bermakna
yang mereka
takkan pernah ada...
makbulnya doa
seorang perantau...
saudaraku...
senyumlah
dan pujuklah tangisan di dada
walau betapa
sakit dan kelam kita rasa
Allah
melihat dan mengasihani
bukankah masih
ramai lagi yang sama seperti kita
bahkan yang
dipandang lebih hina pada mata-mata mereka
Cukuplah Dia
sebagai kekuatan kita...